Tidak faham takrif tanah adat punca berlaku pencerobohan, kata Pas Sarawak

Tidak faham takrif  tanah adat punca berlaku pencerobohan, kata Pas Sarawak
Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee

Jofri Jaraiee

Konflik takrif tanah Hak Adat (NCR) masih menjadi isu panas dan timbul salah faham kerana salah tafsir oleh sesetengah pihak membabitkan menteri, wakil rakyat, pegawai kerajaan, syarikat swasta, peguam dan juga pemimpin masyarakat,  antara punca berlaku pencerobohan ke atas  tanah tersebut, dakwa Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee.

Beliau berkata, perkara ini perlu dibincangkan oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan salah faham dan kekeliruan antara masalah hak tanah adat orang Melayu dan hak adat orang Dayak di Sarawak termasuk Suku kaum Jatti Meirek, Kedayans, Vaie Segan dan kumpulan etnik lain di Sarawak.

“Masyarakat Dayak di Sarawak secara tradisinya mempunyai hak untuk menggunakan tanah itu dengan mengamalkan adat mereka sejak dari generasi ke generasi. Selaras dengan Kanun Tanah 1957 Sarawak, tanah adat Bumiputra [‘Native Customary Land’ (NCL)] yang diiktiraf.

“Masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban, telah diperuntukkan 2 juta hektar tetapi mereka juga mengemukakan tuntutan baru untuk menggunakan tanah adat Pulau Galau dan Pemakai Menoa.

“Desakan ini telah menyebabkan keresahan di kalangan orang orang Melayu di Sarawak termasuk Suku kaum Jatti Meirek, Kedayan, Vaie Segan dan lain-lain etnik di Sarawak.

“Hak Adat Bumiputera Sarawak yang terkandung dalam Undang-undang Tanah Sarawak @ Sarawak Land Code (1958) memberi hak yang sama kepada orang Melayu Sarawak,” ujarnya dalam kenyataan.

Penambakan tanah yang dilakukan oleh pemaju ke atas tanah adat.

Baru-baru ini penduduk di Kampung Pujut Tanjung Batu merayu kepada kerajaan supaya tanah yang dikhaskan untuk padang bola sepak dan program ibadat Qurban bagi penduduk kampung yang telah diceroboh oleh pemaju perlu segera dihentikan.

“Menurut penduduk hanya di kawasan itu terdapat tanah kosong yang telah digunakan oleh penduduk untuk berkebun dan sebagainya.

“Mereka telah lama meneroka tanah sejak dari nenek moyang mereka dulu. Tanah itu termasuk dalam tanah ‘Temuda’ yang terdiri daripada tanah yang ditanam dengan tanaman dan tanah yang telah ditanam sebelumnya tetapi telah ditinggalkan sesuai dengan siklus penanaman untuk kesuburan tanah dan pemuliharaan hutan.

“Walaupun telah dimaklumkan bahawa kawasan itu adalah tanah rezab untuk penduduk Pujut, namun pemaju terus berdegil dan masih terus bekerja di lapangan dan banyak belia dan tukang kebun yang menggunakan jalan itu mengadu kerana laluan utama mereka yang digunakan selama beberapa dekad telah diambil oleh pemaju,” ujarnya.

Bahkan kata Jofri lagi, dengan paras penambakan tanah yang terlalu tinggi dari jalan raya, penduduk bimbang dan ianya tidak mustahil kampung Pujut akan ditenggelami oleh banjir kilat jika hujan lebat berterusan.

Saliran perparitan kini menjadi tempat longgokan sampah sarap dan bahan binaan.

“Pihak kerajaan boleh turun padang untuk melihat sendiri arus air deras dari bukit yang berdekatan mengalir ke kawasan kampung Pujut.

“Ia sepatutnya aliran air disalirkan terus ke dalam laut daripada menggunakannya sistem perparitan yang sedia ada kini sempit dan kecil. Perlu dibina saliran konkrit yang mengalir terus ke laut bukan parit yang sempit menyebabkan banjir di kawasan perumahan dan kebun.

“Air yang mengalir ke dalam parit kampung dan paras tahap yang tinggi penambakan tanah tidak mustahil kampung Pujut Tanjung Batu akan ditenggelami oleh air seperti dalam tahun 60-an dan 80-an di mana pada masa itu kampung Pujut dilanda banjir besar sehingga hingga ke paras 10 kaki mengikut kenyataan Armin.

“Penduduk kampung mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap isu-isu yang mereka hadapi kerana mereka tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku jika pihak berkuasa tidak bertindak segera untuk mencegah pencerobohan tanah mereka serta masalah pengairan yang tidak terkawal,” ujarnya.