Malaysia Dateline

Tidak guna kerajaan tawar pinjaman jika sektor pelancongan tidak boleh dibuka

Kesemua lapan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion yang ditawarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap telah gagal membantu industri pelancongan yang kerugian RM100 bilion tahun lalu dan kemungkinan mencatat kerugian besar tahun ini.

Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng berkata, pakej Pemulih terbaru yang menawarkan bantuan bernilai RM16 juta dalam bentuk bantuan “one-off” RM3,000 kepada agensi pelancongan, hanya menunjukkan betapa besarnya bantuan kewangan yang dinafikan oleh kerajaan kepada industri pelancongan.

Beliau berkata, sektor industri pelancongan yang lain seperti perniagaan hospitaliti dan restoran terjejas teruk dan perlu menunggu sekurang-kurangnya satu tahun lagi untuk melihat sedikit pemulihan.

“Tidak ada guna menawarkan pinjaman apabila tidak ada pendapatan atau perniagaan yang dapat dijana akibat “lockdown” sekarang.

“Apa yang diperlukan adalah geran atau langkah-langkah kewangan untuk membantu mereka menampung kos perniagaan.

“Industri pelancongan terlalu penting untuk diabaikan atau dipinggirkan tanpa bantuan kewangan bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Satu tinjauan baru-baru ini oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mendapati kerugian yang melumpuhkan sedang dialami industri perhotelan akibat “total lockdown” yang dilaksanakan.

63 peratus pekerja hotel dilaporkan sedang cuti tanpa gaji, manakala 120 daripada 320 hotel yang ditinjau telah ditutup dengan kadar penghunian purata kurang daripada 20 peratus.

Sementara itu Guan Eng berkata, sekiranya Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin ketandusan idea untuk membantu industri pelancongan, sekurang-kurangnya apa yang dapat dilakukan beliau ialah menggandakan program subsidi gaji untuk semua pekerja industri pelancongan.

Selain itu, kerajaan perlu menawarkan moratorium pinjaman bank tanpa faedah, subsidi sewa dan geran perniagaan.

“Walaupun kita boleh berdebat mengenai jumlah yang perlu diberikan, tetapi masalahnya sekarang jika tidak ada langsung bantuan yang ditawarkan, dijangka tidak ada yang dapat terus bertahan,” ujarnya lagi.