Tidak guna Umno kempen selamatkan P.Pinang sebaliknya Perda perlu diselamatkan, kata Bersatu

Tidak guna Umno kempen selamatkan P.Pinang sebaliknya Perda perlu diselamatkan, kata Bersatu

Tidak ada gunanya bagi pemimpin Umno untuk berkempen bagi menyelamatkan Pulau Pinang kerana sejak dua penggal yang lalu jelas dan ketara Pulau Pinang berada dalam keadaan yang lebih selamat.

Apa yang perlu diselamatkan oleh rakyat negeri ini adalah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang atau pun Perda.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Shariff Omar.

Menurut beliau lagi, seandainya Perda tidak diselamatkan dengan segera banyak lagi kerosakan akan berlaku setelah ianya diterajui oleh pimpinan Umno.

“Pengerusi Perda adalah Ketua Umno Bahagian.

“Yang turut menjadi ahli lembaga pengarahnya pun adalah ketua-ketua Umno bahagian dan pimpinan Umno.

“Sepatutnya mereka tidak lagi perlu berkempen untuk selamatkan Pulau Pinang, tetapi berkempenlah untuk selamatkan negara ini serta selamatkan Perda, ” ujarnya.

Katanya lagi, tanah Perda yang telah pun dijual dibawah harga pasaran begitu banyak.

Selain itu jelasnya, terdapat pembinaan rumah yang dibina oleh agensi kerajaan tersebut tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu.

“Kini rumah yang dibuat oleh agensi kerajaan tersebut di Ara Kuda, Seberang Perai Tengah hanyalah rumah mampu tengok sahaja dan bukannya mampu dimiliki.

“Sekiranya ia dibangunkan dalam kawasan bandaraya Georgetown dengan harga yang tinggi, itu adalah perkara lain kerana terdapat permintaan dan lokasinya dalam bandar.

“Namun begitu apabila ia dibina dalam kawasan kampung sudah pasti harga yang tinggi tidak dapat memenuhi permintaan penduduk yang berpendapatan rendah dan sederhana, ” tegasnya lagi.

Malah tujuan asal penubuhan Perda adalah untuk membangunkan kawasan luar bandar dan menggantikan fungsi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang atau PDC yang memberi fokus kepada pembangunan kawasan bandar.

“Semasa saya menjadi Pengerusi Perda dahulu, kita ambil tanah dan bina bank tanah untuk masyarakat luar bandar.

“Tapi kini mereka pula jual tanah Perda dengan harga bawah pasaran.

“Oleh kerana itu pimpinan Umno Pulau Pinang harus muhasabah diri dan cermin-cermin diri sebelum mereka berhasrat untuk merampas kembali negeri ini, ” jelasnya yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang semasa era pemerintahan BN.

Adalah difahamkan tanah seluas 3.46 hektar di Seberang Perai Selatan telah dijual oleh Perda dibawah harga pasaran pada tahun 2016 dengan harga RM1.43 juta, walaupun harganya adalah lebih tinggi.

Namun begitu sehingga kini aduan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada SPRM mengenai penjualan tanah bawah harga pasaran tersebut masih tidak menunjukkan apa-apa perkembangan positif.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS