Tidak hadkan khidmat Mahathir, Anwar berkompromi satu keputusan melegakan

Tidak hadkan khidmat Mahathir, Anwar berkompromi satu keputusan melegakan

ULASAN: Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri selagi rakyat memerlukan khidmatnya, Anwar Ibrahim yang dinamakan sebagai penggantinya pula tampil menyatakan bahawa tiada tempoh masa baginya untuk mengambil alih kedudukan itu.

Kedua-dua kenyataan ini tentu saja memberi kelegaan kepada kita semua.

Bermakna, antara Tun Mahathir dan Anwar seperti sudah ada persefahaman bahawa proses penggantian dan peralihan kuasa tidak perlu dilakukan dengan tergesa-gesa.

Apatah lagi, melihat kepada kerosakan teruk keadaan negara yang ditinggalkan Najib Razak, kebebasan dan ruang masa yang cukup seharusnya diberikan kepada Tun Mahathir bersama kabinet untuk melakukan kerja-kerja pemulihan itu.

Sudah tentu, jika tempoh masa tertentu atau dua tahun saja diberikan kepada Tun Mahathir, ia agak tidak adil baginya yang kini sudah pun mencecah 93 tahun usianya.

Setidak-tidaknya, Tun Mahathir harus diberikan peluang menghabiskan khidmatnya sehingga penggal PRU14 ini berakhir dan Anwar boleh menggantinya selepas PRU15 akan datang.

Tidak harus ada sebarang paksaan agar Tun Mahathir segera melakukan serahan kuasa dalam tempoh dua tahun misalnya, begitu juga tidak patut ada desakan agar Anwar cepat-cepat mengambil alih kuasa.

Biar Tun Mahathir melakukan proses pemulihan dengan tenang, agar dengannya Anwar juga dapat mengambil alih negara ini dalam keadaan yang lebih baik lagi.

 

*Penulis adalah blogger dan pemerhati politik.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote