Malaysia Dateline

Tidak hairanlah, 5 kereta ini paling kuat telan minyak di dunia

Selalunya ramai yang mencari topik jenis kereta yang menjimatkan minyak sama ada ia sebagai petunjuk untuk seseorang itu mahu membeli kereta baru sebagai keutamaan kita menjimatkan perbelanjaan.

Tetapi tidak ramai yang mencari topik ‘kereta paling banyak telan minyak’.

Pernah tak anda terfikir di antara semua kenderaan berbentuk kereta komersial yang dijual, yang mana satukah paling pelahap minyak petrol?

Memetik Ilumiansi.com berikut adalah lima kereta yang dilaporkan paling kuat makan minyak berdasarkan senarai agensi kawalan Amerika Syarikat, bagi tahun 2021. Pastikan poket anda penuh kalau-kalau anda berminat mahu membeli kereta ini.

Tempat ke-5 kereta jenis Cadillac CTS V

Tidak hairanlah, 5 kereta ini paling kuat telan minyak di dunia

Secara puratanya model Cadillac CTS-V dan Bentley Flying Spur di bawah mempunyai purata penggunaan petrol yang sama, iaitu 6.37 km untuk setiap seliter.

Apa yang membezakan kedua-duanya adalah model dari Cadillac ini lebih jimat penggunaannya jika digunakan di laluan lebuhraya di mana trafiknya lebih konsisten, mampu mencecah penggunaan pada kadar 8.92 km/l.

Cadillac CTS-V adalah varian berkelajuan tinggi siri model CTS yang telah dikeluarkan oleh syarikat Cadillac sejak tahun 2003, kini dalam versi generasi ke 3. Model ini dikeluarkan dalam beberapa rekabentuk berbeza iaitu sedan, coupe dan juga wagon.

Ke-4 Bentley Flying Spur

Mempunyai tahap penggunaan petrol pada kadar 6.37 km perjalanan untuk setiap satu liter, Bentley Flying Spur keluaran syarikat British ini mula diperkenalkan sebagai varian 4 pintu untuk siri klasik Bentley Continental GT.

Semua model ini dihasilkan di Crewe, England mengekalkan kapisiti enjin 6 liter turbo berkembar, mampu menghasilkan 552 kuasa kuda serta mencapai kelajuan maksim 312km/j.

Purata kadar perbelanjaan tahunan bagi pembelian minyak petrol sahaja bagi model ini serta Cadillac CTS-V, dianggarkan berada pada nilai RM17,650 setahun. Selepas tahu amaun tersebut, penulis memilih untuk kekal dengan kereta keluaran tempatan penulis cukuplah.

Ke-3 Rolls Royce Ghost dan Phantom

Dua model keluaran syarikat Rolls Royce ini mempunyai purata penggunaan petrol serupa, iaitu pada kadar 5.95 km untuk setiap satu liter.

Tetapi model Phantom jimat sedikit di atas lebuhraya, mampu mencatatkan kadar 8.5 km/l berbanding Ghost yang hanya mencatat 8.07km/l.

Oleh kerana tahap penggunaan yang hampir serupa, kedua- duanya juga mempunyai purata perbelanjaan tahunan serupa iaitu pada kadar RM18,900.

Rolls Royce merupakan sebuah syarikat pengeluar kereta mewah dari British, yang beroperasi dari Sussex, England. Jenama ini ketika ini memegang rekod kereta dengan harga jualan termahal di dunia, bagi model Rolls Royce Boat Tail yang dijual pada harga RM118 juta satu unit.

Diperkenalkan pada bulan Mei tahun 2021, hanya 3 unit saja dihasilkan mengikut spesifikasi yang diminta pembelinya.

Kedua Bugatti Chiron

Model Bugatti Chiron adalah antara bukti bagaimana idea yang dikeluarkan pada awalnya dalam bentuk maya, boleh diterjemahkan ke dunia realiti.

Dihasilkan daripada rekabentuk firma Bugatti di Jerman dan proses penghasilannya pula dilakukan di Perancis, model Chiron ini sebenarnya bermula sebagai sebuah kereta konsep maya untuk judul permainan video popular Gran Turismo keluaran Sony.

Dinamakan sebagai ‘Bugatti Vision Gran Turismo’, hanya satu model dihasilkan sebelum asas rekaan kereta itu diambil untuk pembangunan model Bugatti Chiron yang telah dikeluarkan secara komersial sejak tahun 2016.

Chiron dikeluarkan dalam lapan varian dan hanya 500 unit Bugatti Chiron merangkumi kesemua varian akan dikeluarkan. Mempunyai enjin 8 liter kuad turbo berkembar yang mampu menghasilkan 1,479 kuasa kuda, sebuah Chiron dihadkan ‘hanya’ mencecah kelajuan maksim 380 km/j disebabkan oleh ketiadaan tayar yang mampu menampung kuasa sebenar enjin tersebut.

Berdasarkan kepada kiraan purata, sebuah Chiron melahap 1 liter minyak untuk hanya berjalan sejauh 3.82 km. Anggaran perbelanjaan tahunan petrol untuk sebuah model ini sahaja diramal mencecah RM29,610 setahun atau RM2,467 sebulan.

Dan tempat pertama adalah Bentley Meteor

Jika kita tolak semua kategori ke tepi dan tidak mengehadkan pilihan kita hanya kepada keluaran secara komersial sahaja, kereta paling kuat makan petrol di dunia sehingga kini takhtanya masih dipegang sebuah kereta binaan khusus yang dinamakan Bentley Meteor.

Direkabentuk oleh seorang jurutera bernama Bob Peterson pada tahun 2011 hasil gabungan badan kereta Rolls Royce Phantom II keluaran tahun 1930 dan komponen keluaran Bentley, model unik ini dipacu enjin jet model Rolls Royce Meteor – yang sebenarnya dipasangkan pada jet pejuang perang dunia kedua Spitfire V-12.

Dibina hasil permintaan pembeli yang tidak dinamakan, rekaan kereta ini memerlukan tangki sebesar 400 liter disebabkan penggunaan petrol yang terlalu tinggi. Sekali isi penuh memerlukan belanja RM3,095 dan penggunaan petrolnya pula pada kadar 0.85 km/l! Tak sampai jarak perjalanan satu kilometer untuk satu liter petrol.

Pernah dipaparkan dalam siri Top Gear UK, kini model kereta yang terbukti ketagih minyak ini dimiliki oleh pengacara terkenal Jay Leno, yang diketahui memang seorang kaki kereta dan mampu mengisi tangki kereta tersebut.