Malaysia Dateline

Tidak halang Bersatu ke Sabah, kepimpinan Warisan berjiwa besar, kata Muhyiddin

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik sikap terbuka Presiden Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  yang  disifatkan tidak bersikap emosional  dan berjiwa besar dalam menangani isu kemasukan Bersatu ke negeri Sabah.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian Warisan untuk membangunkan negeri itu selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 14 adalah satu langkah yang terpuji.

“Pendirian beliau (Shafie) adalah selari dengan tujuan kemasukan Bersatu ke negeri Sabah iaitu untuk memperkukuhkan kerajaan negeri Sabah yang terbentuk hasil kerjasama Pakatan Harapan dan Warisan dalam pilihanraya umum yang lalu.

“Dengan kedudukan kerajaan negeri yang lebih kukuh dan stabil, saya percaya lebih banyak program-program pembangungan yang menguntungkan rakyat negeri Sabah akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya dalam kenyataan malam ini.

Muhyiddin berkata,Bersatu sebagai anggota Pakatan Harapan, akan memastikan hubungan kerjasama yang baik antara Pakatan Harapan dan Warisan akan terus diperkukuhkan demi kebaikan rakyat negeri Sabah seluruhnya.

“Saya yakin keputusan Bersatu untuk melebarkan sayapnya ke negeri Sabah di atas permintaan rakyat di negeri ini akan memberikan kebaikan kepada rakyat dan kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Shafie.

“Sebagai seorang sahabat yang telah lama mengenali beliau, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Shafie di atas sikap keterbukaan beliau terhadap kemasukan Bersatu ke negeri Sabah.

“Walaupun ini bukanlah satu keputusan yang mudah, ia melambangkan jiwa besar beliau dan seluruh pimpinan Warisan,” ujarnya.

Hari ini dalam satu sidang media diadakan di Kota Kinabalu  Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal  dipetik berkata, parti pimpinannya tidak boleh menghalang mana-mana parti melebarkan sayap ke Sabah, termasuk Bersatu dan ia akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi kepentingan rakyat.

Ketua menteri Sabah itu menasihatkan penyokong Warisan bertenang, walaupun ia mencapai persetujuan dengan PH sebelum pilihan raya umum ke-14 yang Bersatu tidak akan menjejakkan kaki ke negeri itu.