SPR tidak halang guna logo PKR disambut baik PH

SPR tidak halang guna logo PKR disambut baik PH

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil maklum serta menerima baik kenyataan dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah semalam,  tiada halangan untuk Pakatan Harapan (PH) mengguna pakai simbol atau lambang PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Setiausaha Agung PKR Fahmi Fazil dalam kenyataan berkata, PH mengulangi kesediaan membenarkan penggunaan simbol atau lambang PKR bagi kesemua calon PH yang akan bertanding dalam PRU14.

“Kesediaan kami ini adalah berasaskan semangat setiakawan dan kesepakatan di antara semua parti dalam Pakatan Harapan untuk membawa perubahan demi Malaysia yang lebih baik.

“PKR turut menggesa semua pengundi untuk segera menyemak tempat mengundi mereka, bersedia untuk pulang membuang undi, serta menjadi sukarelawan ejen mengundi dan ejen mengira (PACA) bagi calon-calon Pakatan Harapan untuk mempertahan demokrasi dan masa depan negara,” ujar kenyataan itu.

Semalam Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dipetik berkata, jelas seperti yang dimaklumkan SPR sebelum ini bahawa mana-mana calon yang berhasrat bertanding atas tiket PKR dan menggunakan simbol PKR tertakluk kepada kebenaran daripada parti itu sendiri, bukannya SPR.

Namun SPR mengingatkan bahawa bagi tujuan untuk mengambil bahagian dalam PRU14, parti-parti politik mestilah merupakan parti yang didaftarkan dan dibenarkan menjalankan segala aktivitinya di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mohd Hashim berkata bagi parti politik yang bersetuju untuk membenarkan mana-mana bakal calon bertanding mewakili parti berkenaan, mereka diminta membawa surat kebenaran bertulis.

Tambahnya kebenaran bertulis itu mestilah ditandatangani oleh pegawai parti yang bertanggungjawab membenarkan calon itu menggunakan simbol parti tersebut selaras dengan Peraturan 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Kenyataan SPR itu dibuat susulan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir mendakwa SPR enggan bertemu dengan gabungan pembangkang itu bagi menjelaskan berkaitan penggunaan logo dan simbol PKR pada Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Surat balas SPR kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menyatakan bahawa suruhanjaya itu terpaksa menolak permintaan untuk mengadakan satu perjumpaan kerana mereka sibuk dengan beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan.

 

6.0
OVERALL SCORE
: 6.0
Have no any user vote