Tidak hirau kecaman, penyanyi dangdut nekad mahu sertai PRN sebagai calon bebas

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima bertekad mahu menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos depan.

Selebriti yang cukup sensasi dengan pelbagai kisah kontroversi itu juga tidak akan menghiraukan segala kecaman yang bakal diterimanya nanti.

Hal ini kerana, penyanyi yang berusia 30 tahun itu yakin, bakal ada orang yang akan menyokong niat baiknya dalam membela nasib rakyat.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat menerusi satu hantaran video yang dimuat naik melalui akaun Instagram peribadi miliknya.

Sering dihimpit kontroversi, penyanyi yang berusia 31 tahun itu tidak akan menghiraukan segala kecaman yang bakal diterimanya nanti.

“Assalamualaikum rakyat Malaysia. Dengan ini, saya ingin mengumumkan akan bertanding PRN untuk berkhidmat dan membela rakyat.

“Saya tidak boleh halang jika ada yang mengecam. Niat saya cuma mahu membantu masyarakat. Saya yakin ada yang akan menyokong niat baik saya.

“Ingat, kamu bawa perubahan. Fikir-fikirkanlah anak muda. Undi saya,” ujar pemilik nama penuh Nor Ashima Ramli itu dengan yakin.

Menurut penyanyi Roadblock Hatiku itu, tujuan utamanya masuk bertanding di dalam arena politik adalah untuk membela nasib rakyat.

Baby Shima bagaimanapun tidak mendedahkan negeri atau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandinginya.

Malah, anak kelahiran Johor Bahru itu juga belum bersedia untuk melancarkan manifesto pilihan raya.

“Objektif saya menyertai politik untuk membela nasib rakyat agar beban dihadapi dapat diselesaikan.

“Saya akan mengumumkan kawasan dan manifesto kemudian,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan tarikh 12 Ogos sebagai hari mengundi PRN serentak bagi enam buah negeri.

PRN kali ini melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Baca juga: Dituduh lakukan jenayah seksual, PU Azman akui masih terima jemputan ceramah