‘Tidak jadi dosa Amanah rai pemikiran Tok Guru’

‘Tidak jadi dosa Amanah rai pemikiran Tok Guru’

Datuk Husam Musa yang merupakan bekas Setiausaha Akhbar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat ketika Almarhum menjadi Menteri Besar Kelantan pada 1990 menyifatkan tidak salah untuk Parti Amanah Negara (Amanah) mengadakan wacana berkaitan tokoh dihormati kawan dan lawan itu.

Penasihat Amanah Kelantan itu berkata, seseorang ikon memang turut diraikan di luar kelompoknya dalam sejarah panjang dunia.

“Sememangnya sampai hari ini Nabi Ibrahim menjadi sebutan semua pengikut agama lain. Itu adalah lumrah.

“Kita tidak boleh menghadkan ketokohan itu dalam kelompok kita semata-mata. Salahuddin Ayyubi (1137 -1193) atau Saladin menjadi tokoh kajian dan cukup dikagumi masyarakat Barat.

“Tidaklah pelik atau menjadi satu dosa untuk Amanah sebuah parti yang akar dan benihnya adalah daripada Pas untuk meraikan pemikiran Tok Guru Nik Aziz. Tokoh Pas yang bersama Pas sehingga ke akhir hayat,” ujarnya dalam ucaptama seminar pemikiran tokoh itu di ibu negara hari ini.

Menurut Husam, 58, sebahagian pemimpin Amanah pada masa ini adalah pendukung pemikiran politik progresif Islam warisan Tuan Guru Nik Aziz.

“Nik Aziz tokoh mutakhir yang membawa pendekatan siasah Islam progresif, terbuka, dinamik, wakiq dengan pendekatan yang diterima dan bijaksana.

“Kematian Nik Aziz menjadi permulaan era baru bagi hala tuju Pas serta penghakisan pemikiran dan pendekatan politik Nik Aziz daripada Pas termasuk robohnya kerjasama politik atas nama Pakatan Rakyat yang telah membawa Pas memperoleh pengaruh di Pantai Barat Semenanjung Malaysia,” tegasnya dalam seminar anjuran Amanah Kawasan Batu disokong Amanah Nasional itu.

Turut hadir Presiden Amanah, Mohamad Sabu manakala Penasihat Umum Amanah, Ustaz Ahmad Awang menjadi panel pembentang pertama diikuti Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong serta Penyelaras Anwar Ibrahim Research Institute (AIRIS), Ustaz Wan Ji Wan Husin.

Mengulas lanjut, Husam berkata, dasar pimpinan Pas pada masa ini yang kononnya berpegang pada slogan baru politik matang dan sejahtera merupakan satu tanda penghakisan pemikiran Nik Aziz daripada parti tersebut.

“Secara tidak langsung, Pas mengisytiharkan pendekatan politik Pas selama ini (iaitu) ketika Nik Aziz memimpin kerajaan negeri (Kelantan) adalah tidak matang dan tidak bertunjangkan kesejahteraan.

“Sebenarnya, motto itu telah cuba membawa Pas meninggalkan pemikiran Tok Guru Nik Aziz. Serentak itulah, Amanah lahir. Lebih penting lagi Amanah sebenarnya pada hemat saya adalah jelmaan pemikiran politik Tok Guru Nik Aziz,” jelasnya.

Secara berseloroh Husam yang juga mantan Ketua Pemuda Pas Kelantan (1996-1999) berkata, sepatutnya Pemuda Pas yang membincangkan tentang pemikiran Tuan Guru Nik Aziz tetapi disebabkan enggan berbuat demikian maka Amanah pula yang membincangkannya.

“Warisan pemikiran politik seorang tokoh dari parti yang berbeza dalam satu acuan baru bukan perkara yang pelik.

“Bila tokoh yang asal terbantut, cabang yang baru boleh tumbuh seperti mana akar tunjang dan pemikiran itu masih kuat,” tambah Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan itu.

Berkongsikan pengalamannya yang rapat dengan Nik Aziz, Husam turut memberitahu tugasnya sebagai Setiausaha Akhbar selama tiga tahun kepada Almarhum dianggap paling ‘enjoy’ dan berharga.

“Saya adalah anak buah beliau. Ada masa kami berbahas satu-satu tajuk yang memerlukan percambahan pemikiran. Namun, secara senyap-senyap, dia (Nik Aziz) adalah teman, ayah dan sahabat saya,” ujar Husam lagi.

TAGS