Malaysia Dateline

Tidak laksana arahan khianati amanah rakyat

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan penjawat awam di negeri itu agar sebarang keputusan dan tindakan yang diambil tidak dipengaruhi oleh hubungan persahabatan dengan pentadbiran terdahulu.

Pengerusi Bersatu negeri itu berkata, menggadaikan sumpah janji serta taat setia kepada kerajaan semasa dengan melengah-lengahkan atau tidak melaksanakan arahan mahupun keputusan disebabkan oleh konflik sentimen adalah sama sekali tidak wajar dilakukan.

Tegasnya, tindakan tersebut boleh disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada amanah yang diberikan oleh rakyat.

“Kita dapati ada sebilangan kecil penjawat awam yang masih terperangkap dengan sentimen terhadap ‘bos-bos’ lama daripada pentadbiran terdahulu.

“Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada ikatan persahabatan yang dibina antara penjawat awam dan pentadbiran terdahulu.

“Namun, jagalah batas-batas itu supaya keputusan dan tindakan yang diambil tidak dipengaruhi oleh hubungan tersebut,” tegasnya lagi hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika berucap pada Majlis Townhall Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Perak yang dihadiri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Ipoh.