Tidak laksana kembali skim bantuan penanaman semula, zalim dan tidak adil, kata Exco Pemuda Umno

Tidak laksana kembali skim bantuan penanaman semula, zalim dan tidak adil, kata Exco Pemuda Umno
Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

 

Pengumuman Menteri Industri Utama, Teresa Kok bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil, adalah zalim dan tidak adil.

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pekebun kecil merupakan penduduk luar bandar yang wajar dibantu secara berterusan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin meminggirkan kebajikan golongan pekebun kecil dan harga sawit sebagai komoditi utama Malaysia, semakin hari semakin susut malah kerajaan tiada usaha untuk menstabilkannya semula.

“Pekebun kecil kini terpaksa membuat pinjaman kepada kerajaan untuk menanam semula melalui Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS).

“Kini, bantuan tanaman semula pula dihapuskan. Nasib rakyat khasnya pekebun kecil dan penduduk luar bandar semakin hari semakin tidak terbela di bawah pemerintahan kerajaan PH.

“Ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN), pada tahun lepas, kerajaan telah memperuntukkan RM140 juta untuk pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit dan RM200 juta untuk getah.

“Sektor pertanian adalah sumber ketiga pertumbuhan untuk ekonomi dan di bawah dasar kerajaan BN, industri sawit dijangka melonjak dari RM53 bilion pada 2009 ke RM178 bilion menjelang 2020.

“Justeru, Pemuda Umno mendesak supaya kerajaan mengembalikan semula bantuan tanaman semula ini supaya nasib pekebun kecil dapat dibela,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.