Guru dilihat semakin terbeban dengan kerja yang banyak, maka langkah perlu diambil bagi membendung tekanan guru daripada terus meningkat.
Pada tahun 20201, Kementerian Pengajian Malaysia (KPM) telah menerima sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari tahun sama.
Kini Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sesi 2023-2025 diarah menyediakan laporan sulung berhubung beban tugas dan kebajikan guru.
Laporan tersebut perlu dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum pertengahan bulan depan.
“Sebagai tindakan segera dan arahan pertama, saya arahkan laporan sulung MPPK adalah untuk memberikan perhatian kepada teras yang sering saya tegaskan berkali-kali, iaitu hal berkaitan beban tugas dan kebajikan guru,” kata Fadhlina menerusi hantaran di laman Facebook semalam.
Fadhlina pada masa sama menggariskan kriteria pemilihan ahli MPPK 2023-2025.
“Yang pertama, enam daripada sembilan ahli MPPK ini dipilih dalam kalangan mereka yang berlatar belakangkan profesion keguruan.
“Kedua, pengerusi MPPK dipilih dalam kalangan mantan Ketua Pengarah Pendidikan. Hal ini penting bagi memastikan nasihat yang dikemukakan pasukan ini kelak, selari dengan dasar-dasar pendidikan kebangsaan, selain memahami dengan mendalam selok-belok, kerumitan dan kompleksiti kementerian terbesar di Malaysia ini.
“Ketiga, suka juga saya tekankan bahawa kriteria pemilihan kesemua ahli MPPK ini bukan berasaskan faktor bangsa tetapi atas dasar profesionalisme dan kepakaran tokoh-tokoh terbabit yang diperlukan ketika ini,” tambahnya lagi.
Semalam beliau bertemu dengan Pengerusi MPPK 2023-2025 Datuk Dr Amin Senin yang baru dilantik, bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit di samping berkaitan dengan isu pendidikan negara.
Baca juga: Dilema penjaja tepi jalan di Kampung Baru, dihimpit modal kecil tapi barang mahal