Malaysia Dateline

Tidak mahu susahkan ibu ayah, anak ini tekad berselipar hari pertama ke sekolah

Tidak mahu menyusahkan ibu dan ayahnya anak ini tekad memakai selipar pada hari pertama ke sekolah kerana kasutnya dihanyut banjir baru-baru ini.

Dia sudah tidak mempunyai kasut yang lain untuk dipakai selain tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah untuk membeli yang baharu.

“Saya cekalkan hati untuk datang juga ke sekolah dengan berselipar getah sahaja.

“Abah saya hanya mengambil upah sebagai buruh dan ibu pula tidak bekerja, sudah pasti mereka sukar untuk mencari wang memandangkan kediaman kami juga teruk ditenggelami banjir,” kata murid darjah empat ini.

Tidak mahu susahkan ibu ayah, anak ini tekad berselipar hari pertama ke sekolah
Semangat ke sekolah walaupun dalam hati bimbang dimarahi guru kerana berselipar

Sebaik tiba di Sekolah kebangsaan (SK) Gual To’Deh Rantau Panjang Kelantan, Nasrin Mukmin Nasir, 10 terus meminta maaf kepada guru yang sedang menanti di pagar sekolah kerana memakai selipar.

“Maafkan saya cikgu, saya pakai selipar kerana kasut saya hilang dibawa arus banjir.” ujarnya dipetik Harian Metro.

Nasrin adalah salah seorang murid yang tetap bersemangat untuk hadir ke sekolah walaupun pada awalnya kelihatan risau dimarahi guru.

Akhirnya dia tersenyum gembira apabila guru bertugas tidak memarahi sebaliknya terus memberi semangat dan mengucapkan syabas kerana tetap hadir walaupun baru sahaja ditimpa musibah.

Nasri berterus-terang yang beliau berasa cemburu melihat rakan lain mampu ke sekolah dengan lengkap berkasut baharu.

“Tetapi saya cekalkan hati kerana mengingatkan pesan ibu untuk terus belajar walau dalam keadaan apa sekali pun,” katanya.