Malaysia Dateline

Tidak mampu nasihati YDPA, Peguam Negara perlu dipecat

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa Peguam Negara perlu dipecat, atau beliau sendiri meletakkan jawatan secara terhormat.

Ini kerana, bagi Pakatan Harapan Peguam Negara dilihat tidak lagi mampu menjalankan tugas rasminya secara profesional dan berkecuali (neutral) dalam menegakkan undang-undang, termasuk dalam isu memberi nasihat kepada Seri Paduka Baginda.

Dalam kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata, pandangan bahawa YDPA perlu menerima nasihat guaman sendiri melalui badan seperti Majlis Privi (Privy Council).

Isu ini timbul susulan siri kenyataan umum Peguam Negara, termasuk yang terkini berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana Menteri serta kenyataan 25 Jun lalu berhubung kuasa-kuasa YDPA dan nasihat Jemaah Menteri yang telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.

“Walaupun Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang…”, namun timbul tanda tanya apakah Peguam Negara kini boleh menjalankan fungsi tersebut secara tidak berat sebelah (‘impartial’).

“Apatah lagi apabila kita diingatkan bahawa terdapat kes-kes profil tinggi tertentu seperti YB Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Mei namun sehingga hari ini tiada arahan pendakwaan dari Peguam Negara.

“Ini memang luarbiasa apabila seseorang itu ditahan lebih sebulan yang lalu namun masih belum didakwa, dan semestinya menimbulkan tanda tanya samada wujud motivasi lain dengan melengahkan pendakwaan di mahkamah,” katanya.