Malaysia Dateline

‘Tidak mampu selesai semua masalah tapi jernihkan sedikit kekeruhan’

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan pertemuan beberapa persatuan Cina dan India dengan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof semalam menjernihkan sedikit kekeruhan.

Beliau berkata, semua pihak perlu terus bersedia untuk berunding bagi menangani apa sahaja isu yang timbul.

“Mekanisme terbaik dalam melerai sebarang perkara yang berbangkit ialah rundingan dan perbincangan secara bersemuka. Justeru, semua pihak perlu terus bersedia untuk berunding.

“Pertemuan semalam tidak mampu menyelesaikan semua masalah, tetapi sekurang-kurangnya menjernihkan sedikit kekeruhan pra sangka yang selama ini bersarang dalam pemikiran semua pihak,” dipetik dari hantaran di Facebook beliau hari ini.

Mengakui dirinya tidak mempunyai autoriti untuk mengulas pertemuan pertubuhan bukan Melayu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Ustaz Zolkharnain berkata, semua pihak mahukan keharmonian dan kedamaian hubungan antara kaum dalam negara ini terus kekal.

“YB Menteri berpeluang menyampaikan hasrat dan komitmen kerajaan dalam persoalan ini. Secara umum pihak persatuan menyambut baik komitmen dan hasrat itu.

“Apa yang menarik, menurut beberapa individu yang bercakap bagi pihak persatuan, pertemuan kelmarin telah memberi peluang kepada mereka untuk pertama kali menjejak kaki ke Kompleks Islam yang mengurustadbir hal ehwal Islam di negara ini,” ujarnya.

Ustaz Zolkharnain Abidin

Turut hadir dalam pertemuan itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Kerajaan Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud merangkap ADUN Seri Serdang dan Naib Presiden AMANAH.

“Kami dapat memahami isu pelaksanaan jawi ini dengan lebih baik kerana dapat mendengar sendiri penjelasannya daripada mulut mereka.

“Saya dan Dr Mariah telah bertanya banyak soalan dan dijawab secara terbuka oleh mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain yang juga Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkata, wakil pertubuhan terbabit begitu teruja dan ceria.

“Bagi saya, hal itu pun sudah cukup untuk membuang sedikit sebanyak pra sangka yang mungkin wujud dalam diri mereka tentang pentadbiran hal ehwal Islam,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu Dr Mujahid berpeluang menyampaikan kepada mereka terbabit beberapa perkara asas dan penting dalam gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diterajui Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

“Segala puji untuk-Mu ya Allah atas nikmat ini. Engkaulah saksi kepada usaha-usaha kebaikan ini walaupun mungkin ada pihak yang memandang sinis,” tambahnya lagi.

Semalam, antara mereka yang hadir menemui Dr Mujahid di Putrajaya selama 90 minit itu ialah Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim; Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen; Penolong Setiausaha Kehormat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Yong Yew Wei; Pertubuhan Masyarakat Berasal Dari India Sedunia Malaysia, A Ravendiran Arjunan dan Pengarah CHILD Information, Learning & Development Centre, K Arumugam.