Tidak masuk akal bertanding 160 kerusi, Pas sabotaj Pakatan Harapan

Ahli akademik mempertikai kewajaran Pas bertanding sehingga 160 kerusi Parlimen.

Pengumuman Pas untuk bakal bertanding di 160 kerusi Parlimen menimbulkan persoalan bagi penganalisis politik tentang matlamat sebenar parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faisal S. Hazis berpendapat keputusan Pas itu adalah tidak munasabah.

“Keputusan untuk bertanding sehingga 160 kerusi itu daripada segi percaturan politik seolah-olah tidak masuk akal.

“Pas telah menjelaskan peranannya dalam PRU14 adalah untuk menjadi ‘king maker’. Menurut percaturan mereka tidak akan ada mana-mana parti sama ada Barisan Nansional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH)yang mampu membentuk majoriti mudah.

“Mereka sasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 40 kerusi maka boleh pergi sama ada kepada BN atau PH.

“Kalau dengan strategi sebegitu rupa, fokusnya harus kepada pengundi Muslim dalam sekitar 120 kerusi dengan harapan menang satu per tiga daripada jumlah itu,” ujarnya dalam forum #MalaysiaMemilih di Astro Awani.

Analogi Pas apabila bersendirian pada PRU.

Walau bagaimanapun, Dr Faisal Pas dilihat bukan sahaja mahu berperanan sebagai ‘king maker’ apabila ingin bertanding sehingga 160 kerusi Parlimen.

“Kalau bertanding sehingga 160 kerusi, apakah sebenarnya matlamat anda (Pas) dalam pilihan raya kali ini?

“Adakah anda sebenarnya bukan sahaja menjadi king maker tetapi cuba mensabotaj PH dalam pilihan raya kali ini?” soalnya.

Sehubungan itu, Dr Faisal menjangkakan persoalan tentang kerjasama Pas dengan Umno akan kembali hangat semula ekoran keputusan mutakhir Pas tersebut.

Angka 160 kerusi itu disebutkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gagasan Sejahtera Peringkat Pulau Pinang sempena PRU14 di Markaz Tarbiyah Pas Pongsu Seribu, 16 April lalu.

Abdul Hadi memberitahu pada mulanya Pas mahu bertanding di 130 kerusi tetapi hasil perbincangan kemudainnya memutuskan untuk meletakkan calon di 160 kerusi termasuk calon-calon daripada Gagasan Sejahtera.

7.0
OVERALL SCORE
3 user votes x 9.3
CATEGORIES