Malaysia Dateline

Tidak masuk akal polis larang petugas pakai baju logo PH, kata Poay Tiong

Khoo Poay Tiong

Pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka, Khoo Poay Tiong mempersoal tindakan pihak polis yang didakwa melarang petugas parti, memakai baju berlambangkan parti di tempat awam, serta menghadkan tiga individu sahaja untuk kerja memacak bendera.

Tegasnya, dua perkara tersebut sama sekali tidak tersenarai dalam prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Petugas-petugas kempen kita pakai pakaian yang ada lambang Harapan telah ditegur oleh pihak polis menyatakan mereka tidak boleh pakai baju yang ada lambang parti PH.

“Ini satu arahan yang amat tidak munasabah. Bagaimana pihak polis boleh melarang petugas memakai t-shirt yang ada lambang parti? Itu tidak masuk akal.

“SOP pun tidak kata tidak boleh pakai lambang,” katanya.

Beliau juga menegaskan kerja-kerja memasang bendera memerlukan lebih ramai tenaga kerja.

“Sedangkan mereka pacak bendera di kawasan lapang, terbuka bukan kawasan tertutup,” tambahnya lagi.