Tidak masuk syurga kalau Allah bersikap adil, kata Wan Ji

Penceramah Ustaz Wan Ji Wan Hussin mengingatkan tidak seorang pun mendapat ganjaran syurga sekiranya Allah bersikap adil.

Sebaliknya, tegas beliau, rahmat Allah yang membolehkan manusia layak masuk ke syurga lantaran ibadat yang dikerjakan tidak setanding dengan nikmat yang diberikan-Nya.

“Akhirat nanti nak masuk syurga. Rahmat daripada Allah. Sebab itu, kadang-kadang kita perlu perbaiki cara kita berfikir.

“Kita selalu mengharapkan keadilan Allah. Kita berharap Allah bersikap adil kepada kita. Kalaulah Allah bersikap adil kepada kita, kita semua tidak layak masuk syurga.

“Sebabnya, nikmat pemberian Allah dengan ibadat yang kita buat, adakah sama? Tidak sama. Ibadat yang kita buat dengan nikmat yang Allah Taala beri, memang tidak layak.

“Kalau ikut adil Allah, semua orang tidak layak masuk ke syurga. Tapi kalau nak masuk syurga, kita perlu minta rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” jelasnya dalam kuliah di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam di ibu negara malam tadi.

Ustaz Wan Ji berkata, Islam merupakan agama rahmat yang dapat dilihat buktinya melalui keupayaan manusia sebagai contoh untuk makan dan bernafas.

“Islam ini agama rahmat. Bila makan, telan, siapa punya kerja? Allah Taala punya kerja. Itu semua rahmat Allah. Boleh bernafas. Alhamdulillah. Siapa punya kerja? Allah. Semuanya rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar sentiasa membaca serangkap doa yang terkandung dalam Surah A-li’Imraan, ayat 8.

“Sebab itu kita baca, (maksudnya); ‘Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk dan kurniakan kami dari sisi-Mu akan rahmat. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemberi.’

“Kita doa kepada Allah supaya hati kita ini diberi cahaya. Kita doa minta Allah beri rahmat kepada kita dan moga dengan rahmat Allah beri, Allah jadikan kita di akhirat dalam kalangan ahli syurga,” kata Wan Ji lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS