Tertarik dengan kejayaan Menu Rahmah, seorang usahawan inap desa mengambil keputusan untuk turut menawarkan pakej mampu milik kepada golongan B40.
Pemiliknya, Nurul Himmah Muhammad Kamaruzzaman berkata dia tertarik dengan konsep Rahmah yang diperkenalkan kerajaan.
Membawa maksud rasa belas dan kasih sayang, program ini amat menitikberatkan kebajikan pelanggan berbanding keuntungan.
Oleh yang demikian, Nurul Himmah berharap golongan yang tidak berkemampuan dapat menikmati percutian mereka di inap desa miliknya.
“Mungkin ada dalam kalangan mereka ingin membawa keluarga bercuti tetapi tidak mampu kerana harga penginapan.
“Di sini mereka hanya perlu bayar RM5 sahaja dengan fasiliti lengkap termasuk kolam renang,” kata usahawan yang bertapak di Bukit Katil, Melaka itu.
Menurut Nurul Himmah, pakej ini hanya ditawarkan pada hari biasa sahaja sehingga bulan Mac depan dan pengunjung perlu membawa slip gaji sebagai bukti.
Hal ini bagi memastikan penerima manfaat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan kemudahan ditawarkan akan dinikmati oleh golongan yang berhak.
Baca juga: Warga emas Turkiye rela derma simpanan untuk umrah buat mangsa gempa bumi