Tidak menolak disihir, Ust Kazim akan ke Timur Tengah jumpa pakar ke-15 rawat penyakit misteri

Oleh NASUHA RAHMAN

Penceramah Ustaz Kazim Elias tidak menolak penyakit misteri yang dihidapinya kemungkinan angkara perbuatan sihir, bagaimanapun beliau tidak berputus asa untuk mendapatkan rawatan dengan pakar perubatan.

Beliau dijangka akan berjumpa dengan pakar yang ke-15 di negara Timur Tengah sehari dua lagi bagi menjalani rawatan kulit yang dihidapinya itu.

“Kos rawatan itu agak mahal kerana gunakan krim yang terbaik dan dalam dua tiga hari lagi, saya akan ke sebuah negara di Timur Tengah pula bagi menjalani rawatan dengan pakar ke-15.

“Kekuatan saya adalah kerana ada tanggungjawab menguruskan sekolah pondok (pusat pendidikan) kerana kalau terbaring, macam mana nak tanggung mak cik dan pak cik di situ yang sakit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya dirinya menghidap penyakit misteri itu angkara perbuatan sihir kerana perkara itu berlaku di hadapan matanya.

Menurut Ustaz Kazim, wajahnya bukan hanya berubah menjadi gelap tetapi ada luka dan kadang kala berdarah dengan tiba-tiba.

“Memang ada kejadian misteri berlaku di rumah salah satunya mainan cucu saya berjalan sendiri jam 3 pagi sama seperti dalam filem seram.

“Kalau orang kata saya percaya bomoh, benda itu berlaku depan mata saya jadi buat apa saya menipu. Jika saya ada terlanjur kata, saya mohon maaf, kalau ada yang nak uji ilmu, saya mohon maaf kerana saya saya hanya insan biasa,” kata beliau.

Penampilan terkini Datuk Mohd Kazim Elias, yang menutup sebahagian besar mukanya ketika menghadiri beberapa majlis ilmu baru-baru ini mengundang tanda tanya ramai.

Langkah beliau itu bertujuan mengelak wajahnya daripada terkena cahaya matahari.

Penceramah selebriti itu berkata, tindakan itu diambil atas nasihat doktor memandangkan wajahnya tidak boleh terdedah secara terus kepada cahaya matahari.

Tampil menjelaskan perkara itu, Mohd Kazim yang lebih terkenal dengan panggilan Ustaz Kazim menerusi satu siaran secara ‘live’ di media sosial, berkata doktor menasihatkannya mengelak keseluruhan tubuh terkena cahaya matahari dan beliau juga terpakai memakai bermacam-macam krim sebagai pelindung.

Ustaz Kazim juga terpaksa menutup sebahagian mukanya kerana malu untuk bersemuka dengan orang ramai susulan penyakit dihidapinya itu.

“Saya takut orang geli dan jijik. Apabila pakai macam itu, tak adalah malu sangat,” katanya.

Sebelum ini, katanya luka pada bahagian kaki dan badan sudah beransur pulih sejak tiga bulan lalu, kemudian merebak ke muka sebelum beliau nekad bertemu pakar kulit untuk rawatan.

“Hasil pertemuan itu doktor mendapati saya ada penyakit kulit yang kronik, jadi menasihatkan untuk memakai krim pelindung matahari dan mengelak daripada terdedah dengan cahaya matahari,” katanya.

Baca juga: Teguran kepada Ustazah Asma’ Harun-“Itu bukan dakwah Islam, tetapi dakwah terpilih”

Baca juga: Gara-gara terima hadiah cermin mata, pembantu penguatkuasa PBT ditahan SPRM