Malaysia Dateline

Tidak mewartakan jawatan anggota kabinet beri impikasi besar

Pakar Perundangan, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memaklumkan, jawatan anggota kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang belum diwartakan setakat ini, akan menyebabkan implikasi besar kepada negara.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 2 Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969, setelah menteri dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), kerajaan perlu mewartakan perintah tersebut.

“Kesan pertama akibat tidak mewartakan jawatan itu adalah, segala keputusan yang dibuat oleh menteri kabinet, tidak sah.

“Kedua, sebarang lantikan yang dibuat atas jawatan menteri juga tidak sah.. dan yang ketiga, semua keputusan perbelanjaan kewangan yang telah diluluskan selama ini juga tidak sah.

“Itulah keadaan sebenar jika jawatan tersebut tidak diwartakan.. apa yang dibincangkan di Parlimen selama ini juga tidak sah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Berhubung isu ini, Azam berkata tindakan harus dibuat oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Dr Ismail Bakar untuk memulihkan keadaan ini, kerana ia menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Isu ini terjadi kerana mungkin kerajaan sekarang terlepas pandang mengenai perkara itu.. mereka ingat pewartaan ini tidak penting, tetapi yang sebenarnya memberi kesan amat besar.

“Sebenarnya, kerajaan boleh disaman kerana bergerak tanpa mandat.. dan yang keduanya pula, YDPA juga boleh membubarkan Parlimen kerana tiada kerajaan yang sah mengikut undang-undang,” jelasnya lagi.

Baru-baru ini di Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong memaklumkan kepada sekumpulan wartawan ketika sesi temu bual bahawa, jawatan anggota kabinet kerajaan PH belum diwartakan setakat ini.

Liew yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan undang-undang memberitahu, kerajaan sudah membincangkan isu berkenaan, namun masih menunggu untuk ia diwartakan.

Semakan pada Warta Kerajaan Persekutuan menunjukkan, selepas kerajaan bertukar daripada Barisan Nasional (BN) ke PH hasil Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, hanya jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang diwartakan setakat 22 Mei tahun lalu.