Tidak mudah anggap Pas-Umno penyelamat bangsa dan Islam

Tidak mudah anggap Pas-Umno penyelamat bangsa dan Islam

Menganggap Pas dan Umno sebagai penyelamat bangsa dan Islam bukan sesuatu perkara mudah, berikutan pelbagai kontroversi yang melanda parti Umno pada sebelum ini.

Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Ustaz Abdul Ghani Samsudin berkata, menganggap mereka sebagai penyelamat bangsa dan Islam tidak mudah kerana Umno sendiri masih belum memperbetulkan kesilapan yang dilakukannya.

“Tentang ta’awun (tolong-menolong) itu, ayat al-Quran menyebut, ta’awun adalah ayat umum yang mesti dibaca dengan ayat khas dia, iaitu ayat yang menghalang cenderung kepada orang zalim, termasuk yang mencuri dan mengambil banyak harta awam.

“Jadi, tidak boleh ada sesiapa yang menyokong atau cenderung ke arah mereka. Bersekongkol itu lagi lah bercanggah dengan nas dan Umno memang tidak mahu berdasarkan nas,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata demikian ketika diminta mengulas tentang Himpunan Penyatuan Ummah melibatkan Umno dan Pas yang akan berlangsung di PWTC selama dua hari bermula esok.

Program itu bakal menyaksikan pemeteraian piagam bersama antara kedua-dua parti pembangkang itu yang akan ditandatangani pada 14 September ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Abdul Ghani yang juga bekas Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, parti Islam sewajarnya menepati tuntutan pendalilan hukum-hukum syarak.

“Ayat-ayat yang bersifat umum mesti dihubungkan dengan ayat yang mengkhususkan makna umum ayat berkenaan, tanpa dihubungkaitkan ayat am dan ayat yang mengkhususkan, ia bermakna akan mendapat kesimpulan yang salah dan songsang.

“Oleh itu, parti Islam perlu menepati pendalilan yang amanah dan benar terhadap hukum syarak dan ini menyebabkan persekongkolan Pas dan parti kleptokrasi serta kepimpinan yang banyak rasuah, ianya sangat bercanggah dengan ayat berkenaan.

“Menganggap mereka itu sebagai penyelamat bangsa dan Islam tidak mudah kerana duit yang diambil pun masih belum dipulangkan, malah belum bertaubat daripada melakukan kesilapan,” jelasnya yang pernah menerajui Persatuan Ulama Malaysia.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama mengumumkan kerjasama kedua-dua parti itu akan diputuskan melalui pemeteraian piagam dan Memorandum Persefahaman (MoU) pada Sabtu ini.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani presiden kedua-dua parti pada majlis yang bakal dihadiri semua pemimpin Umno dan Pas dari seluruh negara.

Pada 24 Mei lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata piagam yang berbentuk Muafakat Perpaduan Ummah itu akan melebarkan lagi hubungan kerjasama kedua-dua parti, berbanding sedia ada.