Malaysia Dateline

Tidak mungkin Muhyiddin hanya mahu Pagoh

Cakap semuanya syurga dan caturnya belum tentu menghujahkan maksud sebenar. Bagaimana Muhyiddin Kiyai Yassin hari ini boleh rasa selamat untuk bersemayam permai di Parlimen Pagoh sedangkan tiada sebarang kenyataan setuju dari rakan kongsi terutamanya dari Umno.

Paling terbawah pun parti Pas sebagai rakan kongsi dalam Perikatan Nasional (PN) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung kenyataan syok sendiri dari anak Kiyai Yassin itu. Perlu diingat Pas memenangi satu Dun di bawah Parlimen Pagoh.

Apakah yang berlaku? Muhyiddin seperti berangan-angan rakan kongsinya terutama Umno akan memberikan ruang selesa serta mengikut kehendaknya yang buas itu. Ini hanya suatu kenyataan dari Muhyiddin yang mahu mencuba nasib.

Tidak mustahil parlimen lain telah menjadi intaian beliau untuk mencuba nasib bagi memanjangkan lagi hayat partinya, Bersatu. Memang sudah diketahui umum tujuan Muhyiddin Kiyai Yassin itu hanya untuk memakan serta mengurangkan pengaruh Umno.

Cita-cita memakan Umno itu adalah bertujuan untuk beliau menaikkan graf partinya menjadi parti bangsa Melayu terkuat di dunia. Mana mungkin hanya kerusi Pagoh sahaja yang akan ditandingi beliau di Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Pastinya kerusi yang dimenangi Bersatu atau dari geng dua alam Azmin Ali yang kini berada dalam Bersatu di Johor akan terus ditandinginya.

Itu belum kira lagi kerusi yang asal milik rakan kongsi mereka dari Umno yang menjadi katak mengkhianati Umno melompat ke Bersatu.

Perlu dikira, antara contohnya, Parlimen Mersing, Dun Endau, Johor Lama, Sedili dan lain lagi. Umno lebih baik menyusun semula kerusi tersebut dan harus diingat selepas Muhyiddin berkawan dengan Azmin, beliau amat gemar bermain atau menikam belakang.

Sekali lagi, tidak mustahil Bersatu akan makan Umno dan beberapa kenyataan Muhyiddin yang syok sendiri untuk kerusi Pagoh harus disemak semula kerana keputusan dibuat tanpa ada sebarang rundingan serta perbincangan yang khusus berkenaan PRU-15.

Tahniah juga kepada Bersatu di atas ketegasan Presidennya yang berani mengeluarkan kenyataan sedemikian untuk kerusi selamat beliau.

Sehingga kini, Pengerusi Umno Johor sendiri pun masih tidak berbunyi untuk mempertahankan kerusinya di Benut.