Malaysia Dateline

Tidak percaya pada PM, Mahfuz Omar turut hantar usul

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut mengemukakan surat agar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat November ini.

Menerusi satu surat bertarikh hari ini, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Justeru, beliau memohon untuk membawa usul tersebut di bawah peraturan mesyuarat 26(1) dibaca bersama peraturan mesyuarat 27(3) dalam peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya dengan ini memaklumkan hendak mengemukakan usul seperti di bawah pada persidangan mesyuarat Dewan Rakyat yang akan datang bermula 2 November 2020

Dalam surat itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen AMANAH mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini memberi kebenaran kepada Ahli Yang Berhormat bagi Kawasan Pokok Sena untuk mencadangkan suatu usul iaitu menurut Peraturan Mesyuarat 26 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3), dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat” katanya.

Hari ini, kesemua lima ahli Parlimen pro Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk tokoh berkenaan telah menghantar notis usul undi tidak percaya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azhar Azizan Harun.

Dr Mazlee Malik, dalam satu kenyataannya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pusat Penaja Pejuang pada semalam telah memutuskan agar kelima-lima ahli perlimen mereka membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Kesemua ahli Parlimen tersebut ialah Mahathir (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Dr Shahruddin Md Salleh (Seri Gading).

Sebelum ini, Tengku Razaleigh Hamzah (Umno-Gua Musang) yang turut menghantar notis serupa mendakwa, Muhyiddin telah dua kali enggan membenarkan usul yang dicadangkan untuk dibahaskan, dengan cara menyenarainya di penghujung senarai perbahasan.

Justeru, Ahli Parlimen Gua Musang itu telah meminta agar Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dikemukakan di dalam Dewan Rakyat kali ini.