Malaysia Dateline

Tidak perkenal semula PPSMI tapi kerajaan teruskan DLP

Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan Program Dwibahasa (DLP) walaupun banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis bahasa menuntut kerajaan memansuhkannya.

Bantahan itu kerana secara dasarnya DLP sama seperti Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan secara rasmi pada 2012.

Melalui DLP, kerajaan memberi kebenaran kepada pihak sekolah untuk memilih melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, berkata KPM akan meneruskan DLP yang kini melibatkan sebanyak 2,291 buah sekolah rendah dan menengah.

Katanya, DLP diperkenalkan secara rintis pada 2016 di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) membabitkan 377 sekolah iaitu 132 sekolah rendah dan 245 sekolah menengah.

“Selepas empat tahun pelaksanaan program DLP ini, jumlah sekolah yang terbabit meningkat kepada 2,291 buah pada 2020 iaitu 739 sekolah rendah dan baki 1,552 sekolah menengah.

“Buat sementara waktu, kita menekankan program DLP dan akan teruskan. Jika ada sekolah memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam DLP, kita akan benarkan, ” katanya.

Hang Soon berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hasan Ariffin (BN-Rompin) sama ada kerajaan akan membuat kajian berhubung pelaksanaan PPSMI.

Menurutnya, KPM tidak berhasrat memperkenalkan semula dasar tersebut namun sedang berusaha menambah baik pendidikan bahasa Inggeris bagi meningkatkan penguasaan dalam kalangan guru dan murid.

Banyak pihak sebelum ini membantah pelaksanaan DLP yang dilihat sebagai satu cubaan mengembalikan cadangan dasar PPSMI.

Paling menonjol menolak ialah pertubuhan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang terdiri daripada ahli akademik, sasterawan negara, penulis, pejuang bahasa dan orang persendirian.

Pada 16 Julai lalu, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen pada persidangan Dewan Rakyat menjelaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak memperkenalkan semula PPSMI.

Jurang pelajar

PPSMI dilapor menelan perbelanjaan besar mencecah lebih RM5 bilion tetapi pencapaian PPSMI hanya sekitar tiga peratus dengan kemerosotan ketara bagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Dalam masa sama, pencapaian pelajar Malaysia dalam ujian antarabangsa yang berkaitan dengan Sains dan Matematik seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMMS) merosot dengan ketara sesudah pelaksanaan PPSMI.

Turut didedahkan sebelum ini, minat pelajar untuk memilih aliran Sains di sekolah menjunam sehingga hanya kira-kira 25 peratus sahaja sekali gus menyaksikan kemerosotan jumlah penuntut sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi (IPT).

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Prof Datuk Dr Awang Sariyan sebelum ini dilapor berkata, DLP perlu dinilai semula pelaksanaannya kerana mewujudkan jurang dalam kalangan pelajar, iaitu sejumlah pelajar mengikuti Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan sekelompok lagi dalam bahasa Melayu.

Menurutnya, pakar bahasa dan pendidikan sudah menawarkan penyelesaian dengan meningkatkan penambahbaikan dalam mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri, yang meliputi bidang kurikulum, latihan guru, pedagogi atau kaedah pengajaran dan bahan ajar.

Untuk rekod, himpunan menuntut pemansuhan DLP pernah berlangsung di ibu negara pada 2016 dengan menyaksikan kehadiran ahli akademik dan ahli politik termasuk pimpinan AMANAH dan Pas.