Malaysia Dateline

Tidak perlu belanjawan terlalu besar atasi masalah rakyat, kata Tun M

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan tidak memerlukan belanjawan gergasi sebesar RM322.5 bilion, jika ianya tidak dapat mengatasi masalah ekonomi dan mengekang perkembangan wabak Covid-19.

Beliau berkata, tentu ada beberapa peruntukan di dalam Belanjawan 2021 yang boleh ditangguhkan sementara, antaranya peruntukan untuk membina pejabat-pejabat kementerian yang menelan ratusan juta ringgit.

“Peruntukan untuk pelbagai jabatan ada yang dinaikkan sehingga 520 peratus dan pembangunan pejabat ini boleh ditangguhkan.

“Contohnya, RM160 juta untuk bangunan pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. RM64.4 juta pula di seberang laut. Manakala RM231 juta untuk pejabat Kementerian Dalam Negeri.

“Peruntukan Jabatan Perdana Menteri juga dinaikkan dari RM7.9 bilion pada tahun 2020 kepada RM11.7 bilion kali ini,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu turut mempersoalkan kerajaan berhubung keperluan membelanjakan sehingga RM125 juta bagi kompleks Angkasapuri.

Bahkan, beliau juga mencadangkan agar lebih baik sekiranya kerajaan mengurangkan saiz Kabinet Perikatan Nasional (PN) yang diyakininya tidak akan menjejaskan pemerintahan kerajaan.

“Kabinet terlalu besar. Ramai yang dilantik menjadi Menteri, Timbalan Menteri dan bertarat Menteri tetapi mereka tidak dapat bekerja kerana wabak.

“Kita boleh kurangkan jumlah mereka tanpa jejaskan perjalanan pemerintahan. Kita perlu tangguh (kesemua) projek yang disebutkan,” kata pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.

Pada masa sama, dalam ucapan perbahasannya, Mahathir menyifatkan kerajaan seolah-olah tidak mengambil berat soal defisit sehingga terpaksa berhutang.

Tambahnya, peruntukan sebanyak RM3 bilion iaitu satu peratus dari jumlah belanjawan, sama sekali tidak mencerminkan pandangan serius kerajaan terhadap pandemik yang melanda negara.

“Kita tak perlu belanjawan sebegini besar melainkan ia atasi masalah sosial, ekonomi dan mengekang perkembangan wabak Covid-19,” katanya lagi.