Malaysia Dateline

‘Tidak perlu benci Mahathir, janji angkat Anwar jadi PM tidak berubah’

Naib Presiden AMANAH, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menegaskan kesetiaan parti itu kepada Pakatan Harapan (PH) tidak pernah berbelah bagi.

Ahli Parlimen Hulu Langat tersebut berkata, janji AMANAH untuk mendukung dan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tetap tidak berubah.

“Tetapi ia tidak bermakna kami perlu membenci Tun Dr Mahathir Mohamad atau menafikan sebarang keistimewaan dan kepakaran beliau dalam membawa kebaikan kepada negara.

“Beliau (Mahathir) juga mempunyai pengalaman dan kelebihan di peringkat antarabangsa. AMANAH tidak wajar dibebankan dengan mewarisi sebarang kebencian yang ada di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertelingkahan antara penyokong Mahathir dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dengan Anwar dan PKR dilihat semakin ketara ketika kerajaan Perikatan Nasional dibentuk melalui sokongan majoriti yang tipis.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, AMANAH dan PH terus memperjuangkan agenda rakyat dan saling berhubungan secara baik.

“Kami masih berjuang untuk rakyat dan masih saling mesra antara satu sama lain.

“Kami terlalu sibuk untuk mengembalikan semula negara dalam kerangka Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan urus tadbir yang baik,” ujarnya.

Menurutnya, negara akan menjadi huru-hara memandangkan pemimpin daripada parti-parti di bawah PN saling bertelagah sekali gus hilang tumpuan dalam memutuskan rantaian jangkitan pandemik.

“Membiarkan negara dipimpin oleh kumpulan parti-parti yang bersengketa sesama mereka dan bertopengkan muafakat kepentingan Melayu atau Islam, akan membuat negara ini tidak stabil.

“Ketika negara dan kerajaan tidak stabil; tiada siapa di kalangan mereka yang fokus membela rakyat terutama di musim pandemik Covid-19 ini,” tambahnya lagi.