Malaysia Dateline

UMNO PAS

Tidak perlu bimbang jika Umno-Pas bersatu, kata Annuar

Rakyat Kelantan tidak sepatutnya bimbang sekiranya Umno dan Pas menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), demi memajukan lagi negeri itu.

Annuar Musa
Annuar Musa

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata mereka terutama umat Islam di Kelantan sepatutnya perlu bimbang dengan ideologi anti-Islam yang dibawa DAP, menurut BH Online.

“Kita tidak perlu bimbang jika Umno dan Pas bersatu…yang kita patut bimbang adalah DAP kerana tidak mahu Islam dan Melayu bersatu.

“Malah, mno dan Pas adalah saudara Islam…buat apa bergaduh. Contoh di Kelantan, negeri ini ketinggalan disebabkan kita saling bertelagah,” katanya seperti dipetik.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Bicara Minda dan Dialog “Perjuangan For All” di Politeknik Kok Lanas, malam tadi.

Ahli panel lain adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Sementara itu, Mustapa berkata, Umno mahu memberi perkhidmatan yang lebih baik daripada Pas walaupun parti itu sudah memerintah Kelantan selama 27 tahun.

“Belum ada mana-mana parti pembangkang yang mampu bertahan selama 27 tahun memerintah sesebuah negeri seperti Pas di Kelantan.

“Kalau (memerintah) lama, tapi rakyat puas hati tidak apa…jadi kami rasa lebih mampu,” katanya.