Malaysia Dateline

Tidak perlu boikot, utamakan produk Malaysia, sokong industri halal

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), mengusulkan agar rakyat negara ini mengutamakan barangan Malaysia dan menyokong industri halal dan tayyibah iaitu berkualiti, baik dan selamat.

Menurut Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, ekonomi negara akan dapat dikembangkan sekiranya semua pihak mematuhi segala syarat halal dan tayyibah dan diamalkan oleh semua peniaga serta pengguna.

Jelasnya lagi, bagi pengguna Muslim, sudah pasti produk dan khidmat yang patuh syariah menjadi pilihan.

“Oleh kerana itu, semua pengeluar produk di Malaysia perlu akur bahawa pasaran produk halal dan tayyibah perlu diutamakan sekiranya mahu pasaran dalam kalangan masyarakat Muslim ditembusi.

“Sekiranya pengeluar Malaysia mengutamakan produk patuh syariah, sudah tentu pasaran di negara ini akan terbuka luas kepada semua golongan masyarakat tanpa mengambil kira sama ada ia adalah pengguna Muslim maupun sebaliknya.

“Mapim berpandangan adalah tidak perlu melancarkan boikot kerana yang penting ialah pengguna Malaysia perlu dididik dengan kefahaman yang betul untuk memilih produk yang halal dan tayyibah, ” ujarnya.

Malah katanya, seandainya benar dan jelas ada sesuatu produk dan perkhidmatan itu didapati melanggar peraturan seperti salahguna logo halal, produk yang tidak selamat, mengeksploitasi harga, maka pengguna boleh menolak untuk membelinya.

Mohd Azmi juga berkata, Mapim turut mengusulkan agar semua pengeluar dan peniaga supaya memahami sensitiviti pengguna Muslim di negara ini bagi memastikan pengguna tidak terdedah kepada penipuan.

“Logo atau simbol agama kerap disalahgunakan oleh pengeluar dan peniaga dan seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak supaya salahlaku dan salahguna dalam perniagaan tidak berleluasa.

“Tidak dapat dinafikan terlalu banyak produk yang tercemar dan tidak selamat yang ada dalam pasaran kini samada dari aspek kesihatan maupun alam sekitar, makanan, kosmetik dan juga peralatan pengguna.

“Pengguna Muslim dan bukan Muslim boleh mengguna kuasa pengguna untuk menolak produk terbabit, sementara itu pihak berkuasa boleh bertindak untuk menghalang produk atau perkhidmatan seumpamanya dari berada di pasaran, ” tegasnya.

Menurut beliau lagi, isu boikot tidak timbul kerana pengguna Muslim masakini semakin meningkat kesedaran mereka terhadap keperluan menggunakan produk yang halal dan tayyibah.