Tidak perlu calon MB baharu, wujudkan kerajaan perpaduan, kata Pesuruhjaya Pas Perlis

Tidak perlu calon MB baharu, wujudkan kerajaan perpaduan, kata Pesuruhjaya Pas Perlis

Tindakan terbaru Barisan Nasional (BN) Negeri Perlis menghantar 11 nama calon Menteri Besar (MB) yang baharu adalah tidak wajar.

Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli (gambar atas) dalam satu kenyataan beliau.

Menurut beliau lagi, Pas Negeri Perlis mencadangkan diwujudkan kerajaan perpaduan demi masa depan rakyat dalam negeri ini.

“Mencadangkan nama baru untuk dilantik sebagai MB Perlis oleh BN sekali lagi adalah tidak wajar.

“MB baharu telah pun dilantik dan mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Oleh kerana itu tindakan tersebut adalah tidak perlu dilakukan kerana pelantikan telah pun dibuat secara rasmi oleh Tuanku,” ujar beliau lagi.

Malah katanya lagi, Pas Negeri Perlis tidak menuntut sebarang jawatan dalam kerajaan negeri.

“Kami juga menasihatkan rakan PKR juga agar tidak menuntut sebarang jawatan MB yang telah pun diperkenankan oleh Tuanku.

“Bagi Pas perkara yang lebih mustahak dan perlu diberi keutamaan ialah selesaikan kemelut politik ini dengan segera.

“Dengan penyelesaian konflik ini secepat mungkin maka kerajaan negeri dapat menunaikan tanggungjawab serta berbakti kepada rakyat,” tegas beliau yang juga merupakan Adun Sanglang.

Konflik berpanjangan isu pelantikan MB Perlis memperlihatkan bagaimana barisan exco kerajaan negeri tidak mampu dibuat sehingga kini.

Ianya bukan saja memberi impak yang buruk kepada kepimpinan kerajaan negeri, sebaliknya memperlihatkan harapan rakyat Perlis agar nasib mereka diberi pembelaan tidak dapat dilaksanakan lagi.

Justeru, Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bersama Adun BN yang memenangi kerusi dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu disarankan supaya lebih mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi dengan menerima perkenan Tuanku Raja Perlis baru-baru ini.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 9.0