Malaysia Dateline

‘Tidak perlu lagi bonus kepada penjawat kerajaan, lebih baik beri kepada orang susah’

Pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid berpendapat Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober ini sepatutnya tidak lagi memberi bonus kepada kakitangan awam.

Bekas perunding untuk Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) itu berkata, penjawat awam adalah golongan paling tidak terjejas kerana pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah lebih baik kerajaan menambah peruntukan bantuan kepada isi rumah daripada kumpulan B40 dan M40 termasuk golongan peniaga kecil.

“Orang yang paling kurang tertekan dari segi pendapatan ialah pegawai kerajaan. Belanjawan tahun lepas diberi bonus kepada pegawai kerajaan.

“Tak perlu beri. Lebih baik beri kepada orang susah.

“Apa yang perlu diperbaiki ialah bantuan kepada rakyat secara konsisten meliputi B40, M40, golongan yang hilang pekerjaan, bekerja sendiri seperti Makcik Kiah dan majikan,” tegasnya.

Dr Muhammed berkata demikian dalam forum, “Ekonomi Sudah Pulih atau Belum?” di saluran Facebook TV Dinamika Baru, 20 September lalu.

Untuk rekod, dalam Belanjawan 2021, kerajaan memberi Bantuan Khas Kewangan bernilai RM600 kepada kakitangan awam Gred 56 ke bawah.

Bantuan Khas Kewangan bernilai RM300 pula diberi kepada pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen.

Kelmarin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 telah beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40.

Angka yang didedahkan melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat itu adalah berdasarkan laporan anggaran pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jelas Perdana Menteri lagi, peningkatan kadar pengangguran pula menyebabkan pendapatan isi rumah miskin dan pendapatan B40 berkurangan seterusnya menambah bilangan isi rumah yang berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).