Malaysia Dateline

Tidak perlu pencapaian 100 hari, Kabinet Ismail dari awal lagi sudah gagal

Tiada gunanya untuk kerajaan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) melaksanakan manifesto 100 hari, kata Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Hamid.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri merupakan bekas Menteri Kanan Keselamatan yang gagal sepanjang menganggotai 17 bulan pentadbiran kerajaan PN.

Justeru menurutnya, Ismail merupakan punca kes terus melonjak disebabkan peraturan yang dibuatnya.

“Perkara 100 hari tu tak perlu pun sebenarnya. Dah gagal dah pun. Sebelum ini pun Ismail Pengerusi MKN, dah jelas dia telah gagal selama 17 bulan. Itu tanggungjawab dia,” katanya dalam satu siaran langsung Studio Dahsyat Jalan Kapar malam tadi.

Tambah Abdullah Sani, tempoh membuktikan pencapaian dalam 100 hari juga tidak perlu kerana Kabinet Ismail masih lagi menampilkan wajah-wajah yang sama yang terbukti telah gagal sebelum ini.

Beliau juga mengkritik bagaimana Kabinet Naib Presiden Umno itu kini menjadi bahan jenaka terutama apabila bekas menteri kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hanya ditukar kementerian dengan Menteri Kesihatan baru, Khairy Jamaluddin.

“Macam mana mereka nak perbetulkan yang gagal. Dah tahu jalan tempang, nak suruh jalan tegak macam mana,” ujarnya.

Untuk rekod, selepas pengumuman lantikan Kabinet baru pada 27 Ogos lalu, Ismail memberikan tempoh 100 hari untuk setiap menteri membuktikan pencapaian mereka

Beliau secara peribadi katanya, akan memastikan Kabinet tersebut menekan budaya kerja berprestasi tinggi.