Tidak perlu persoal kesetiaan saya pada Sultan Johor, bidas Muhyiddin

Tidak perlu persoal kesetiaan saya pada Sultan Johor, bidas Muhyiddin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas  cabaran  Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang mahu beliau menyatakan kesetiaan sama ada bersama Sultan Johor atau Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu membabitkan Forest City di negeri itu.

Muhyiddin Yassin Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas  cabaran Datuk Aziz Kaprawi yang mahu beliau menyatakan kesetiaan sama ada bersama Sultan Johor atau Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu membabitkan  Forest City di negeri itu.

 Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, isunya bukan soal kesetiaan sebaliknya membabitkan isu kedaulatan.

“Isu yang berada di hadapan kita sekarang bukan isu kesetiaan. Isu pokoknya kedaulatan. Ia adalah soal prinsip.

“Apa prinsip kita mengenai kedaulatan negara dan kepentingan rakyat? Adakah penjualan tanah-tanah kepada syarikat asing untuk dibina rumah-rumah kediaman yang kemudiannya dijual sebahagian besarnya kepada rakyat negara asing memenuhi kepentingan rakyat negara ini?

“Bagaimana pula tanah-tanah ini yang dimiliki secara kekal oleh rakyat negara asing tidak mendatangkan ancaman kepada kedaulatan negara?,” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Abdul Aziz Kaprawi Muhyididn mengulas cabaran Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Gading semalam untuk menyatakan pendiriannya antara kesetiaan kepada Sultan Johor atau terus bersama Tun Dr Mahathir dalam pertikaian berkaitan Forest City.

Aziz dipetik berkata Muhyiddin perlu membuat pilihan kali ini kerana secara jelas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar  telah murka dan mengeluarkan titah yang baginda tersinggung dengan dakwaan Mahathir yang juga Penasihat PPBM itu.

Namun menurut Muhyiddin apa yang berlaku di Forest City bukanlah pelaburan asing, tetapi penjualan tanah kepada syarikat asing.

“Ketika saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang dihadiri oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri. Dasar kerajaan pada ketika itu ialah tanah-tanah yang dijual kepada pelabur asing mestilah tidak berstatus hak milik kekal. Ini penting supaya tanah-tanah ini tidak jatuh ke tangan pihak asing.

“Adakah dasar ini telah tidak dipatuhi oleh kerajaan negeri Johor ketika meluluskan penjualan tanah-tanah di Forest City kepada syarikat asing? Atau adakah dasar mengenai pemilikan tanah oleh orang asing telah berubah?

“Persoalan ini perlu dijawab oleh kerajaan negeri Johor dan kerajaan Persekutuan,” soalnya lagi.

Muhyiddin berkata, walaupun persoalan mengenai tanah adalah bidang kuasa negeri tetapi dakwanya, kerajaan negeri boleh mengenepikan dasar pemilikan tanah oleh warganegara asing dan sekatan-sekatan yang biasa dikenakan ke atas pemindahannya boleh diketepikan begitu sahaja hanya dilihat dari sudut keuntungansemata-mata tanpa mempedulikan soal hak dan kedaulatan negeri.

“Isu pokok ialah keselamatan dan kedaulatan negeri dan negara. Adalah menjadi suatu kewajiban, malahan ianya amanah yang saya dan PPBM harus pikul untuk mempertahankan bumi Johor dan Malaysia dari jatuh dimiliki oleh orang asing.

“Apa jadi kepada negeri kita jika semakin banyak tanah kita terlepas ke tangan asing disebabkan kealpaan kita untuk mempertahankannya.

” Tanah Besar China mempunyai agenda tertentu untuk menawan ekonomi wilayah termasuk rantau ini menerusi Gagasan Laluan Suteranya. Itulah juga yang diperingat oleh Tun Mahathir

“Yang ditakuti ialah apabila pemimpin yang berkuasa menghadapi bebanan wang dan hutang yang berbilion sanggup menggadai tanah pusaka kepada orang asing untuk menyelesaikan tanggungannya.

“Maka hilanglah milik kita kepada orang lain! Apakah Bandar Malaysia milik Malaysia?,” soalnya.

Justeru katanya lagi,” Bagi saya, kesetiaan tidak bersifat membuta tuli. Ia mestilah berpaksikan kepada prinsip kebenaran. Itu juga yang diajar oleh agama Islam. Ketika kedaulatan negara sedang tergugat dan kepentingan rakyat terancam, maka sebagai seorang warganegara yang setia kepada raja dan negara, tanggungjawab saya adalah untuk bercakap benar.” ujarnya.

Muyiddin berkata, sebagai anak Johor, sudah tentulah tumpahkan taat dan setia beliau kepada Raja dan Negeri Johor. Selain itu, menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu juga adalah sebahagian daripada matlamat perjuangan partinya yang jelas termaktub di dalam perlembagaannya.

“Jadi, jangan persoalkan kesetiaan saya kepada Sultan Johor.

“Sejarah mengajar kita bahawa penjajahan bermula dengan tindakan pemerintah menjual sebahagian daripada wilayah negerinya kepada pihak asing.

“Akhirnya, wilayah itu jatuh ke tangan asing dan hilanglah kedaulatan negeri ke atas wilayah itu. Wilayah yang telah hilang ini tidak dapat diperolehi semula oleh negeri itu.

“Inilah pengalaman yang dilalui oleh negeri-negeri Melayu ketika British datang ke tanah air kita dengan Syarikat Hindia Timurnya. Inilah juga persoalan pokok yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir dan ianya amat berasas.

“Ada pihak yang mengatakan bahawa penjualan tanah-tanah ini kepada syarikat asing dari negara China adalah pelaburan asing. Apabila saya mengkritik dasar ini, saya dituduh anti pelaburan asing. Tidak kurang juga ada media tempatan mengecap saya anti-Cina,” ujarnya.

Muyiddin juga menyentuh soal pelaburan asing ke Malaysia.

“Saya tahu apa maksud pelaburan asing dan saya antara orang yang bertanggungjawab membawa masuk pelaburan asing ke Malaysia ketika saya berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Malah, ketika saya menjadi Menteri Besar Johor, saya juga mengetuai banyak delegasi ke luar negara untuk membawa masuk pelaburan asing ke negeri Johor. Orang Johor pasti ingat negeri Johor membangun dengan pesat pada ketika itu.

“Pelaburan asing berlaku apabila syarikat luar negara datang menanam modal di negara kita. Mereka membuka kilang-kilang pembuatan di negara ini, menggunakan bahan-bahan mentah tempatan untuk menghasilkan produk-produk sama ada untuk dieksport atau dijual di pasaran tempatan dan menggaji pekerja-pekerja tempatan.

“Kerajaan menyediakan tanah untuk mereka mendirikan kilang-kilang tetapi tanah ini tidak dimiliki secara kekal oleh syarikat-syarikat asing ini. Tanah-tanah ini dimiliki secara sementara dan apabila tempoh pajakan tamat, ia mesti dikembalikan semula kepada kerajaan. Daripada pelaburan asing ini, rakyat mendapat manfaat dari segi peluang-peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan limpahan ekonomi di kawasan sekitar. Di samping itu, negara tidak kehilangan tanah kepada syarikat asing.

“Apa yang berlaku di Forest City adalah sebaliknya. Syarikat asing tidak menanam modal, sebaliknya membeli tanah-tanah untuk dibangunkan dan dijual.

“Para pekerja terdiri daripada warga asing yang sebahagian besarnya didatangkan dari negara China dan bahan binaan juga dari negara China. Malah para pembeli unit-unit kediaman berjumlah 700,000 unit kesemuanya juga sebahagian besarnya adalah warganegara China.

” Apa manfaatnya kepada rakyat dan negara Malaysia selain keuntungan yang diperolehi oleh syarikat-syarikat yang menjalin usahasama dengan syarikat China?,”terangnya.

TAGS