Malaysia Dateline

“Tidak perlu timbul isu saya jumpa Tun, ia urusan peribadi”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menegaskan perjumpaannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamed baru-baru ini adalah atas urusan peribadi.

Perjumpaan atas urusan peribadi itu, katanya dalam usaha mencari kesatuan dalam satu saf kepimpinan Bersatu.

“Dalam erti kata, saya bersama-sama dengan Tun atau Muhyiddin saya bertanggungjawab untuk memastikan kesatuan itu wujud kembali.

“Jadi saya hanya melihat dari lensa Tun Mahathir, mana hala tuju Bersatu, pendapat berbeza.

“Tidak perlu timbulkan isu hal saya berjumpa dengan Tun itu adalah perbincangan peribadi, sebab hari raya saya berjumpa dengan dia, saya juga berjumpa dengan pemimpin-pemimpin yang lain untuk mendapat pandangan politik negara,” katanya dalam sidang media hari ini di kediamannya.

Beliau juga menegaskan hala tuju Bersatu sudah jelas dan tidak perlu membuat spekulasi seolah-olah Bersatu tidak mempunyai hala tuju.

“Yang penting kita mahu keluar dari keadaan yang sedang hadapi hari ini, kita perlu kestabilan pimpinan, kita perlu rakyat faham sama ada pemimpin di belah sana atau sini bantulah untuk ekonomi negara,” katanya.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu mengesahkan pertemuan itu berlangsung kira-kira 45 minit di Yayasan Kepimpinan Perdana (YPK), Putrajaya sekitar jam 9 pagi pada 29 Mei lalu.

Beliau turut menafikan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu ada kaitan dengan dakwaan kononnya beliau akan menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).