Tidak perlu tubuh RCI siasat TH, semuanya sudah jelas, kata Mujahid

Tidak perlu tubuh RCI siasat TH, semuanya sudah jelas, kata Mujahid

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak perlu ditubuhkan bagi menyiasat salah laku berkenaan pengurusan prestasi Lembaga Tabung Haji (TH), kerana segalanya sudah jelas.

Kenyataan itu dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mengatakan, isu membelenggu TH bukannya bermula ketika pihaknya mengambil alih pada 2017, malah amaran telah dikeluarkan sejak 2015 lagi.

Beliau berkata, amaran itu adalah, TH perlu berhenti daripada terus mengeluarkan hibah sedangkan aset semakin rendah berbanding liabiliti.

“Itu bermakna, waktu itu Datuk Seri Azeez Rahim, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr Asyraf Wajdi sudah pun mengetahui mengenai keadaan dan kedudukan TH defisit sebanyak RM4.1 bilion apabila kami mengambil alih institusi berkenaan.

“Kami menguruskan TH pada 2018, sehingga hujung tahun 2018 dan ianya sudah RM10.2 bilion maknanya, kami telah memulihkan TH dengan bantuan sokongan penyelamatan daripada kerajaan sebanyak RM17.8 bilion.

“Kami lakukan semua pemulihan ini dari 2018, mungkin dah suku ketiga.Sampai sekarang suku pertama 2019, lebih kurang enam bulan kami telah pulihkan defisit RM4.1 bilion dan RM10.2 bilion itu.

“Kami sudah pulihkannya, sekarang ini kita ada surplus (lebihan) RM1 bilion, maknanya pemulihan itu berjaya, dan kita sudah membersihkan akaun, termasuk polisi rosot nilai di mana kita telah mengikuti prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mujahid berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan RCI kerana pihaknya sudah menjelaskan usaha pemulihan mereka terhadap institusi itu berkenaan.

“RCI ini ditubuhkan bertujuan untuk menyiasat sesuatu yang tidak jelas dan misteri. Isu TH ini tiada misteri apa pun, benda semua sudah jelas.

“Kerajaan juga bagi RM17.8 bilion.Apa guna RCI lagi, melainkan mereka (pembangkang) hanya nak tutup kelemahan yang telah dibuat, maka timbulah isu hendak menubuhkan RCI.

“Seperti yang anda sedia maklum, segala kewangan pada 2017 itu bukan daripada kami.Kami hanya ‘menerimanya’tahun 2018 kami sedang menjalankan proses pemulihan TH.Kalau kami gagal memulih, usah kata 1.25%, memang tiada langsung hibah.

“Ini bukan soal kita nak tuduh siapa.Tapi itulah yang kami warisi.Kami membaiki keadaan itu, supaya jadi seimbang untuk membayar hibah 2018,” katanya.

Semalam Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi mendesak kerajaan Pakatan Harapan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat salah laku pengurusan TH, yang didakwa berlaku ketika pentadbiran terdahulu.

Asyraf berkata, RCI penting untuk menjernihkan kekusutan masyarakat terhadap fenomena saling tuduh-menuduh sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap TH, sekaligus mengelakkan institusi yang besar maknanya kepada umat Islam itu runtuh.