Malaysia Dateline

‘Tidak perlu tujuh malaikat menembus tujuh langit’

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Dr Muhaimin Sulam mengingatkan pentingnya pemimpin dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) berakal budi dalam mengurus pandangan dan emosi rakyat.

Beliau berpendapat tindakan tujuh menteri Kabinet termasuk timbalan perdana menteri melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Selangor berhubung hiasan tanglung sebagai keterlaluan.

“Tidak perlu tujuh malaikat menembus tujuh langit. Pimpinan PH harus lebih bijak mengurus perspektif umum,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurutnya, cukup hanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang memegang portfolio perpaduan serta wakil rakyat kawasan terbabit hadir menyokong pemasangan semula tanglung di sekolah kebangsaan itu.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat kekeliruan wujud apabila sebahagian orang politik tidak memahami konsep tradisi dan budaya teras yang menjadi pentakrif kepada identiti negara bangsa ini.

“Tanglung bukanlah tradisi teras budaya Malaysia tetapi ia hanyalah lambang toleransi budaya dalam masyarakat Malaysia.

“Harus dibezakan budaya teras dengan budaya yang sifatnya sebagai sub budaya,” jelas Naib Pengerusi AMANAH Perak itu lagi.

Semalam, SMK Pusat Bandar Puchong 1 mencipta rekod sebagai satu-satunya sekolah di Malaysia dihadiri serentak tujuh menteri Kabinet ekoran isu pemasangan hiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Mereka terdiri daripada pemimpin empat parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu tiga dari PKR, DAP (2) manakala Bersatu dan AMANAH masing-masing seorang.

Lawatan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu disertai Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching; Exco Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Dr Mahanom Mat Sam.

Budaya pentakrif

Dalam hal berkaitan, aktivis Hishamuddin Rais dalam buku terbitannya tahun lalu, Surah-surah Terlarang: Persoalan Nasional turut menghuraikan makna budaya pentakrif.

Menurutnya, budaya pentakrif ialah budaya induk atau budaya teras dalam mana-mana tamadun dunia seperti budaya Anglo-Saxon jika di United Kingdom dan budaya Han sebagai budaya pentakrif di Tanah Besar China.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat orang Melayu yang dipanggilnya “Bani Melayu” sebagai orang asal Tanah Melayu telah gagal melahirkan sebuah negara bangsa atau tamadun bangsa dalam masyarakat majmuk hari ini.

“Saya cukup yakin semua ini berlaku kerana Bani Melayu tidak memiliki jati diri yang kukuh. Bani Melayu gagal mengajukan budaya pentakrif untuk Malaysia.

“Simpang-siur budaya, kacau-bilau bahasa hanyalah manifestasi daripada kegagalan Bani Melayu menjadi teraju kepimpinan untuk melahirkan budaya pentakrif di Malaysia,” tegasnya.

Beliau mengambil contoh bagaimana ada pemimpin DAP ketika kerajaan negeri Selangor bertukar ganti pada tahun 2008 enggan memakai songkok untuk Ahli Dewan Undangan Negeri.

Padahal, jelas Hishamuddin, songkok merupakan sebahagian daripada simbol budaya Bani Melayu.

“Kenapa Bani China ini berani angkuh? Ini kerana Bani Melayu sendiri tidak memiliki jati diri yang kukuh,” tegasnya lagi.

Pemasangan semula tanglung di sekolah menengah dekat Puchong dikatakan mendapat persetujuan mesyuarat Kabinet.