Malaysia Dateline

Tidak perlukan permit rentas daerah di Sarawak mulai hari ini

Perjalanan rentas daerah di seluruh Sarawak dibenarkan bermula hari ini tanpa perlu mendapatkan permit polis.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan arahan terbaharu itu, orang ramai yang mahu melakukan perjalanan rentas daerah tidak lagi perlu mendapatkan permit polis.

Katanya, berdasarkan agenda mesyuarat JPBN bertarikh 4 September 2021 lalu, sekatan jalan raya (SJR) rentas daerah dibubarkan dan SJR Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ( jika perlu) dan SJR benteng dikekalkan.

“Sekatan Jalan Raya SJR) tidak lagi diadakan berkuatkuasa memandangkan tiada permit diperlukan bagi perjalanan rentas daerah di negeri ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Tegas Uggah, walaupun rentas daerah dibenarkan namun kunjung-mengunjung adalah tidak digalakkan.

Menurutnya, orang ramai perlu ada kawalan kendiri yang tinggi kerana Sarawak kini masih dalam fasa memerangi Covid-19.

“Orang ramai perlu sedar bahawa semua mempunyai tanggungjawab mengutamakan keselamatan masyarakat, terutamanya mereka yang berada di kawasan pendalaman.

“Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, mereka tidak digalakkan untuk keluar dari rumah buat masa ini. Sekiranya perlu, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga (telah lengkap vaksinasi) dan wajib mematuhi protokol-protokol kesihatan yang telah ditetapkan,” tambahnya.

Ujar beliau lagi, walaupun terdapat kelonggaran sekatan pergerakan bagi mereka yang menerima vaksinasi lengkap, orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan jangkitan.

“Amalkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam. Selain itu, pastikan pengudaraan yang baik dan elakkan aktiviti berkumpul,” katanya.