Malaysia Dateline

Tidak puas hati kerjasama dengan menteri gagal, Ku Li letak jawatan

Ahli Parlimen Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Menerusi sepucuk surat bertarikh 20 September, Ku Li berkata, beliau meletakkan jawatan yang dianggap sebagai tidak berpelembagaan itu berkuatkuasa mulai tarikh surat tersebut diserah.

Perletakan jawatannya berkait dengan sikap Umno yang masih meneruskan kerjasama dengan Bersatu, malah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga masih mengekalkan menteri-menteri gagal semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggata kerajaan yang mengganti kerajaan gagal telah direstu oleh pimpinan Umno walaupun orang ramai dan akar umbi parti menzahirkan kekecewaan mereka kerana hampir semua jawatan dipenuhi oleh mereka dari kalangan kerajaan gagal.

“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan kita dalam PRU15 dan akhiri Parlimen yang tergantung?

“Bolehkah kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti kita dalam PRU15 nanti?,” soalnya dalam satu surat yang dihantar kepada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ku Li yang merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat selama 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri itu, berkata, Perhimpunan Agung Umno 2020 telah meluluskan sebulat suara usul untuk memutuskan sebarang kerjasama dengan Bersatu.

Walau bagaimanapun, katanya, usul tersebut mengambil masa untuk dilaksanakan.

Beliau dengan itu mengumumkan pengunduran jawatan dan mengucapkan terima kasih kerana memberinya kesempatan memainkan peranan yang kecil dalam perjalanan Umno.

Julai lalu, Ku Li telah memohon agar tempat duduk beliau dalam Dewan Rakyat diletakkan berdekatan blok Bebas.