Malaysia Dateline

Tidak sabar, provokasi, curiga boleh merosakkan segala-galanya

Sebagai seorang yang berpengalaman selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri(PM) sebelum ini, Tun Mahathir tahu apa yang perlu dan beliau juga mengetahui apa yang sebaliknya.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya lagi, duhulu semasa menjadi pembangkang sekian lama mengkritik, mengenengahkan dan memperkenalkan ‘reform’ sesuatu sistem pentadbiran dan pengurusan negara yang baru adalah terlalu idealistik sebagai pembangkang.

Akhirnya kata beliau, maka terhasil manifesto dan janji-janji yang terlalu ideal dimana tiba-tiba diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kerajaan.

“Setelah itu barulah dapat diketahui bahawa limitasinya di sana-sini cukup besar serta bukan mudah untuk melakukan ‘reform’ sepertimana yang terkandung dalam manifesto dan janji-janji ideal yang telah dibuat.

“Apabila berjaya mendapat kuasa dan tampuk pemerintahan, terbukti Tun Mahathir cuba mengimbangi tuntutan manifesto dan janji dengan beberapa pandangan peribadinya yang terbaik untuk negara.

“Terdapat beberapa perkara dalam manifesto yang diikuti dan beberapa jua perkara yang difikirkan perlu untuk kepentingan negara atas kapasiti sebagai PM tanpa dirujuk kepada Jemaah Menteri, ” ujar beliau lagi.

Malah tegas Dr Zaidi, Jemaah Menteri serta Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang tidak mempunyai pengalaman harus muhasabah hakikat tiada pengalaman sebagai Kerajaan Pusat dan memberi kepercayaan kepada Tun Mahathir untuk mengemudi negara dalam masa yang singkat semaksima mungkin.

“Adalah amat optimis, Tun Mahathir akan tetap menyerah kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke 8.

“Perkara ini bukan sekali, bahkan telah berkali-kali telah disuarakan oleh beliau mengenai peralihan kuasa tersebut.

“Rentetan itu maka adalah wajar semua pihak menaruh kepercayaan dan bertenang serta bukannya menekan atau membuat tuduhan ‘teori sailang’ yang mampu membuatkan suasana politik sentiasa hangat dan panas, ” tambah beliau.

Sarannya, sifat tidak sabar dan provokasi berterusan atau kecurigaan melampau boleh merosakkan segala-galanya.

Oleh kerana itu beliau menyeru semua pimpinan utama PH supaya menunjukkan kebijaksanaan dan kredibiliti kepimpinan yang tinggi untuk mengurus perbezaan serta membuktikan mereka boleh mengurus perkara ini dengan baik dan ‘rise to the occasion’.