Tidak salah untuk Pas, Amanah berbincang untuk menang, kata Mahfuz

Tidak salah untuk Pas, Amanah berbincang untuk menang, kata Mahfuz

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tidak salah untuk Pas duduk berbincang dengan Amanah yang merupakan parti yang lahir dari pergolakan krisis dalaman Pas yang dianggap pengkhianat jika itu boleh membantu membina kembali imej Pas di persada politik Malaysia, kata ahli parlimen Pas Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar

Katanya, tidak salah juga untuk Amanah berbincang dengan Pas parti yang mereka begitu marah untuk mencari formula bagi  mengalahkan Umno BN.

“Kepada Amanah saya harap buang kemarahan pada Pas dan kepada Pas juga buang rasa geram pada Amanah. Apa pun parti Amanah telah ujud dan semua pehak perlu mencari jalan untuk menewaskan Umno BN demi Rakyat dan Malaysia,” kata Mahfuz dalam kenyataannya hari ini.

Bagi bekas ketua penerangan Pas itu, semua pihak perlu belajar dari sejarah.

Katanya, tahun 1990 Pas dan serpihan Umno semangat 46 yang ketuai oleh Tengku Razaliegh Hamzah yang pernah terlibat dalam konspirasi politik mengkhianati dan menjatuhkan kerajaan Pas di Kelantan pada tahun 1978 telah dapat duduk dalam satu pakatan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Bukan sahaja Tengku Razaliegh yang mengkhinati Pas tetapi APU turut disertai oleh Parti Berjasa yang merupakan parti yang lahir dari krisis Pas pada 1977 apabila Allayarham Datuk Mohammah Nasir dipecat dari Pas dan menubuhkan Berjasa dan menyertai pru 1978 dan bekerjasama dengan BN serta memenangi 11 kerusi Dun Kelantan dan membentuk kerajaan Kelantan bersama Umno BN, katanya.

Pada pru 1990 Pas menerima dan membentuk kerjasama dengan APU yang melibatkan tiga parti yang pernah mengkhianati Pas iaitu Semangat 46, Berjasa dan Hamim, Parti yang ditubuhkan oleh bekas Presiden Pas Allahyarham Datuk Asri Muda sehingga Pas hilang kerajaan Kelantan pada 1978.

Pada Pru 1990 menyaksikan Pas berjaya membentuk kerajaan Kelantan bersama 3 parti yang pernah mengkhianati Pas dan berjaya mengalahkan Umno Bn 39-0, katanya.

Berjasa diberi satu kerusi exco kerajaan negeri dan Semangat 46 3 exco dan Timbalan Menteri Besar ke 2.

“Isunya kerajaan Kelantan kekal hingga kini di tangan Pas selepas berunding dan bekerjasama dengan tiga parti yang pernah mengkhianati Pas pada 1978 dalam pru 1990.

“Persoalannya salahkah kalau Pas dan Amanah duduk berbincang dan bekerjasama untuk mengalahkan Umno dan BN pada prk dan pru14 akan datang,” soal beliau.

Mahfuz sedar, cadangan beliau agar Pas dan Amanah berbincang untuk menghadapi pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar telah ditempelak oleh sesetengah pihak dalam Pas.

“Saya tiada masaalah apabila kenyataan saya ditempelak oleh banyak pehak yang marahkan saya kerana menyarankan PAS menyambut pelawaan YAB Azmin Ali supaya Pas menyertai dan berada kembal dalam pakatan pembangkang.

“Begitu juga saranan saya agar Pas dan Amanah berunding untuk memastikan satu lawan satu didalam prk Kuala Kangsar dan Sg Besar dengan masing masing bertanding hanya satu kerusi,” katanya.

Namun, katanya, kenyataan dan saranan beliau kerana ingin melihat Umno Bn dapat dikalah dalam prk dan pru 14 nanti.

Maka wajarlah, katanya, setiap parti memahami kekuatan semasa politik parti masing masing serta pengaruh semasa berdasarkan komposisi pengundi pelbagai kaum dan pergolakan politik di Malaysia dan di kedua dua kerusi K.Kangsar dan Sg Besar.

Yang penting kedua dua parti ini perlu duduk berbincang ambil pendekatan situasi menang menang (win win situation) demi rakyat dan Malaysia, katanya.

Sebelum ini, cadangan Mahfuz agar kedua-dua parti ini berbincang telah ditempelak sebagai ‘cilako’ dan agenda Zionis dan Kristian oleh AJK Pas Pusat, Muhamad Sanusi Md Nor.

TAGS