Malaysia Dateline

Tidak sampai separuh penduduk Lembah Klang dapat suntikan vaksin dos pertama

Hanya 47.6 peratus daripada populasi di Lembah Klang sudah menerima suntikan dos pertama vaksin setakat semalam.

Peratusan vaksinasi tersebut merangkumi populasi penduduk bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKAV) itu dikongsikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin setakat semalam sebanyak 14,772,221 dos dengan 10,097,841 orang mendapat suntikan dos pertama.

Walaupun Selangor merekodkan kes jangkitan tertinggi Covid-19, kadar vaksinasi bagi negeri penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia itu dilihat masih rendah.

Laman web JKAV dengan kemaskini setakat 17 Julai lalu memaklumkan hanya 1,987,129 orang iaitu 30.4 peratus penduduk Selangor menerima vaksin dos pertama walaupun pendaftaran untuk suntikan pelalian di negeri itu tinggi mencecah 96.7 peratus.

Peratusan vaksinasi dos pertama di Selangor itu jauh lebih rendah bagi negeri yang mempunyai sebanyak 6.7 juta penduduk berbanding negeri dan wilayah lain.

Kuala Lumpur mencatatkan rekod 95.6 peratus populasi yang sudah menerima vaksin dos pertama diikuti Putrajaya (63.6 peratus), Labuan (59.2 peratus), Negeri Sembilan (36.9 peratus) dan Perlis 34.7 peratus.

Pada 8 Jun lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana Selangor menerima jumlah vaksin yang rendah daripada yang sepatutnya diterima.

Luahan Sultan Selangor itu dizahirkan walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah bermula sejak 24 Februari lalu.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor selama dua minggu bermula 3 Julai pula menyaksikan peningkatan 23 peratus kes Covid-19.

Pada 2 Julai lalu, jumlah kes Covid-19 di Selangor sebanyak 254,543 kes dengan 2,907 kes baharu manakala pada 16 Julai iaitu genap dua minggu PKPD, jumlah kes sudah mencecah 312,606 kes termasuk 5,512 kes baharu.

Terkini, empat daripada sembilan daerah di Selangor mencatatkan kes positif Covid-19 membimbangkan melebihi 8,000 kes hingga 13,000 kes antara 6 hingga 19 Julai lalu.

Sepanjang tempoh dua minggu itu, daerah Petaling paling teruk dijangkiti dengan sebanyak 22,215 kes diikuti Hulu Langat (13,536 kes), Klang (10,114 kes) dan 8,351 kes direkodkan di daerah Gombak.