Penyanyi Marsha Milan meluahkan rasa tidak selesa selepas ‘home tour’ kediaman mewah yang dikatakan miliknya tular di media sosial sehingga menjadi bualan ramai.
Kediaman yang terletak di Petaling Jaya itu benar-benar mengagumkan sehingga ada yang memuji Marsha sebagai merendah diri kerana tidak pernah mendedahkan banglo mewah yang didiaminya.
Begitupun memetik OhBulan!, pelantun suara ‘Kembali Terang’ itu tampil menjelaskan bahawa rumah yang didiaminya itu adalah rumah mentuanya.
Marsha menetap bersama mentuanya sejak penyanyi itu berkahwin sembilan tahun lalu iaitu pada 2015.
“Sebenarnya saya tak berapa senang sebab bagi saya rumah adalah privasi.
“Kalau saya muat naik pun, saya tak menunjuk-nunjuk. Sebab takut nanti jadi apa-apa.
“Terus terang itu bagi saya rumah keluarga dan bukanlah rumah saya. Bukan nak kata saya kaya, bila baca berita viral itu tak tahu nak komen apa,” katanya seperti dilapor portal hiburan tersebut ketika ditemui pada majlis Meet & Greet Paling Ikonik Anugerah Juara Lagu Ke-38.
Video ‘home tour’ rumah Marsha Milan sebelum ini menimbulkan perbincangan hangat di media sosial dengan ada yang mendakwa Marsha menunjuk-nunjuk rumah yang bukan miliknya.
Bagaimanapun kata Marsha, video tersebut telah dipadam setelah pihaknya memberitahu individu tersebut.
Disoal sama ada selesa atau tidak menetap bersama ibu mentua, Marsha berkata, dia sangat selesa bahkan sudah menetap bersama mereka sejak awal perkahwinan lagi.
“Mula-mula tak jangka yang saya akan menetap bersama keluarga mentua.
“Tapi, Alhamdulillah saya biasa dengan mereka. Kalau duduk dengan suami sahaja, mungkin saya akan berasa sunyi. Lagipun duduk ramai-ramai macam ini ia menyenangkan saya.
“Kadang-kadang saya perlu seseorang untuk berada di rumah selepas saya pulang dari outstations. Saya akan tahu suami berada dalam keadaan baik sekiranya saya keluar bekerja.
“Mungkin tak semua orang boleh tinggal dengan ibu mentua, saya faham. Bagi saya, saya okay dan selesa.
“Lagipun ibu mentua saya tinggal seorang. Ayah mentua sudah tiada. Jadi bagus juga kami saling menjaga antara satu sama lain,” ujarnya.
Baca juga: “Jimat, sedap, mudah!” – Ini resipi sos bolognese, boleh buat 3 jenis masakan lagi