Tidak sembah derhaka tapi persoal tindakan SPR, kata Pas

Tidak sembah derhaka tapi persoal tindakan SPR, kata Pas

Pandangan PAS dalam isu kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak boleh dianggap sebagai sembah derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata PAS tidak menafikan pengampunan penuh di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan oleh Seri Paduka kepada Anwar, sebaliknya mempersoalkan peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat gagal mentafsir kelayakan Ketua Umum PKR  untuk bertanding pada PRK Parlimen itu.

“Saya percaya, Seri Paduka telah bertindak mengikut undang-undang di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya, adakah Anwar menerima pengampunan bebas di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan?,

“PAS suarakan bantahan isu undang-undang ini kepada SPR… sekiranya SPR tidak mampu membuat tafsiran jelas (tentang kelayakan Anwar untuk bertanding di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan), SPR perlu merujuk kepada mahkamah sebelum pilihan raya dilaksanakan…bagi saya SPR tidak menjalankan peranan dengan sepatutnya,” katanya dipetik Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Markas PAS dekat Telok Kemang, dekat sini hari ini.

Turut hadir, dua Naib Presiden PAS iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad dan Idris Ahmad serta calon PAS bagi PRK Port Dickson Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Sebelum ini Pengarah Komunikasi Strategik PKR Fahmi Fadzi dilaporkan berkata usaha PAS untuk terus mempersoalkan kelayakan Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Port Dickson dengan menyebut beliau tidak mendapat pengampunan penuh akan menjadi sembah derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

PAS lantang bersuara mempersoalkan kelayakan Ketua Umum PKR itu menjadi calon pada PRK berkenaan, kerana Anwar hanya mendapat pengampunan penuh di bawah Perkara 42, namun tidak diberikan pengampunan bebas di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS