Malaysia Dateline

Tidak sepatutnya duit rakyat dibazirkan dengan lantikan penasihat yang tidak berfungsi, kata ADUN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan menegaskan bahawa tidak sepatutnya duit rakyat dibazirkan dengan lantikan-lantikan penasihat yang tidak tahu apa fungsinya.

Beliau berkata, saiz Kabinet kerajaan Ismail Sabri yang besar ini membuatkan rakyat terpaksa menanggung untuk membayar elaun dan gaji-gaji menteri.

Beliau membandingkan dengan negara China yang mempunyai populasi penduduk sehingga 1.2 bilion, namun mempunyai Kabinet kecil sekitar 25 orang jemaah menteri.

“Amerika Syarikat pula, rakyat dia ratusan juta tapi saiz Kabinetnya lebih kurang 25 orang sahaja. Sedangkan negara kita cuma memiliki 33 juta penduduk, tapi kita mempunyai saiz Kabinet sangat besar.

“Sudah tentu bila melibatkan saiz Kabinet sangat besar, dia melibatkan satu perbelanjaan besar yang mana wang ini adalah wang rakyat.

“Rakyat terpaksa menanggung untuk membayar elaun dan gaji menteri-menteri dan timbalan menteri. Inilah jawatan yang diwujudkan oleh kerajaan Perikatan Nasional, Barisan Nasional,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Pada masa sama, menerusi muatnaik hantaran di Facebooknya, Sany berkata, jutaan ringgit duit rakyat dihabiskan hanya kerana mahu mengukuhkan kedudukan politik para pemimpin kerajaan, tanpa memikirkan rakyat sedang tertekan dengan kehimpitan hidup ketika ini.