Malaysia Dateline

Tidak setuju Berjasa bertanding kerana Muafakat Nasional perlu sokongan bukan Melayu

Pas hari ini menjelaskan pendiriannya yang tidak bersetuju terhadap keputusan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang mengambil ketetapan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 November ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana Muafakat Nasional itu sendiri sudah terdiri dari majoriti Melayu.

Justeru katanya, mereka perlu mendapat sokongan bukan Melayu yang kemudiannya mencapai persetujuan bersama untuk menamakan Datuk Seri Wee Jeck Seng untuk bertanding.

“Oleh kerana Muafakat Nasional terdiri dari majoritinya Melayu Islam, maka kita memerlukan ahli bukan Islam.

“Dengan itu, kita bersetuju menonjolkan calon MCA untuk bertanding menjadi wakil kita di Tanjung Piai.

“Mengapa MCA? Kerana kita tidak meletakkan orang bukan Islam dalam satu bakul. Ada yang ekstrem dan ada yang tidak. Kita menganggap MCA tidak ekstrem sebagaimana yang lain, oleh sebab itu terima calon MCA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung penyertaan calon parti Berjasa dalam PRK Tanjung Piai, semasa Majlis Ramah Mesra Presiden Pas bersama Media & Pelancaran Harakahdaily versi baharu, di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Pas Kamaruzaman Mohamad

Semalam, Pas memaklumkan akan mengkaji semula hubungan dengan Berjasa dalam Gagasan Sejahtera, susulan parti itu berkeras meletakkan calon pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Abdul Hadi  menegaskan, bahawa pihaknya sama sekali tidak bersetuju dengan hasrat Berjasa meletakkan calon pada PRK itu.

Jelasnya hari ini, mereka terikat dengan Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 14 September lalu dan bersetuju menyokong penuh calon MCA.

“Setiausaha Agung Pas telah hubungi saya, dia bentang hasrat Berjasa untuk bertanding.

“Kita memberitahu mereka, kita tak bersetuju mereka bertanding kerana kita sudah berpandangan untuk menunjukkan Muafakat Nasional.

“(memilih) Calon MCA yang melihat bukan konteks Tanjung Piai sahaja, tapi peringkat nasional keseluruhannya,” katanya.

Antara sebahagian wartawan yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Presiden Pas bersama Media & Pelancaran Harakahdaily versi baru hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas Datuk  Takiyuddin Hassan pula  berkata,  piagam yang dimeterai antara Umno dan Pas melibatkan kerjasama bertunjangkan prinsip untuk saling bersetuju agar tidak bersaing antara satu sama lain.

“Bila BN bertanding, Gagasan Sejahtera kena terima. Kalau kerusi itu GS bertanding, Umno perlu terima. Itu lah sebaliknya.

“Oleh sebab itu bila Berjasa buat keputsan melalui parti untuk letak calon, awal-awal lagi kita kata tak boleh sebab kita terikat dengan perjanjian sebagai parti yang berasaskan Islam dan kami terikat dengan perjanjian.

“Atas sebab itu secara sepenuhnya, kita akan pastikan MCA akan diberikan sepenuh undi terutama dari Pas dan penyokong Pas,” katanya.

Pada PRK Tanjunf Piai  paprti Berjasa meletakkan calonnya Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).