Tidak tahu cukai tersembunyi: Menteri KPDNKK wajar letak jawatan

Ahli parlimen Pandan kecewa dengan kenyataan balas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa beliau tidak tahu mengenai cukai minyak tersembunyi dan harga minyak setiap bulan ditetapkan mengikut purata harga pasaran bulan sebelum itu.

Tidak tahu cukai tersembunyi: Menteri KPDNKK wajar letak jawatan

Ahli parlimen Pandan kecewa dengan kenyataan balas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa beliau tidak tahu mengenai cukai minyak tersembunyi dan harga minyak setiap bulan ditetapkan mengikut purata harga pasaran bulan sebelum itu.

“Saya telah membawa isu cukai tersembunyi ini sejak tahun 2014 lagi apabila penetapan harga minyak yang dijual kepada pengguna (RON95, RON97 dan diesel) terdedah kepada keputusan politik yang menyebabkan rakyat sentiasa rugi,” kata Rafizi dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, isu ini mula-mula timbul bermula Julai 2014 apabila kerajaan tidak menurunkan harga minyak sedangkan harga minyak mentah sedunia jatuh merudum.

Bagi beliau, sikap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil kesempatan dengan mencukai rakyat secara senyap pada ketika harga minyak mentah jatuh merudum telah di bawa di dalam Parlimen dan ke pengetahuan umum sejak 2014 lagi.

Sebagai tindakbalas kepada desakan termasuk ugutan untuk mengadakan demonstrasi pada 31 Disember 2014 sekiranya harga minyak tidak diturunkan selaras dengan kejatuhan harga minyak mentah; pentadbiran Najib memperkenalkan sistem apungan harga berdasarkan pasaran seperti yang ada sekarang.

“Malah, saya turut disaman oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor ekoran dari kritikan saya terhadap tindakan Perdana Menteri menghapuskan subsidi minyak yang saya sampaikan di dalam satu ceramah di Bandar Tun Razak mengulas dasar penetapan harga minyak pada ketika itu,” katanya.

Oleh yang demikian, kata Rafizi, alasan Hamzah Zainuddin bahawa beliau tidak tahu mengenai kewujudan cukai minyak tidak boleh diterima.

Ini kerana KPDNKK sendiri tahu mereka berdepan dengan timbang tara dari Rafizi berkaitan apa-apa keputusan melibatkan harga minyak.
Selain dari kenyataan media yang berterusan, Rafiz berkata, beliau juga telah mengemukakan banyak soalan di Parlimen mengenai cukai tersembunyi akibat dari dasar penetapan harga oleh kerajaan ini.

“Jawapan beliau bahawa harga ditetapkan mengikut harga pasaran purata bulan lepas bukanlah satu jawapan kerana itu diketahui umum.

“Isu yang saya timbulkan kini ialah kenapakah kerajaan melanggar formula yang ditetapkan mereka sendiri apabila kiraan berdasarkan formula (mengikut harga pasaran purata bulan Julai) menunjukkan harga RON95 bagi Ogos 2016 sepatutnya RM1.65 seliter; bukannya RM1.75 seliter yang ditetapkan KPDNKK,” katanya.