Malaysia Dateline

Tidak tahu tugas AG, MP Pas diminta letak jawatan

Timbalan Menteri Undang-undang Mohamed Hanipa Maidin meminta Ahli Parlimen Kuala Terengganu meletakkan jawatan kerana tidak tahu tugas Peguam Negara.

Membalas tuntutan Ahli Parlimen Pas, Ahmad Amzad Hashim  itu yang mendesak AG meletakkan jawatan agar tidak mengganggu siasatan polis, Hanipa berkata beliau yang patut meletakkan jawatan.

“Alasan Yb ini adalah agar TS AG tak terbabit dengan siasatan kematian arwah Adib.

“Salah tembak tu YB! AG memang tidak terbabit dalam proses siasatan .

“Itu bukan bidangkuasa beliau. So alasan minta jawatan tu pun tersasar YB. Ginilah je YB.. YB je lah letak jawatan sebab YB ni main tembak sembrono je!”, ujar Hanipa  yang juga Ahli Parlimen Sepang dalam kenyataan  di facebook  hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang disiarkan dalam sebuah portal berita,  menggesa Peguam Negara Tommy Thomas tidak lagi terbabit dengan siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ini susulan keengganan Tommy Thomas melepaskan jawatannya walaupun didesak oleh pelbagai pihak.

Ahmad Amzad berpandangan Tommy Thomas masih berada dalam prosiding menghina mahkamah, justeru dilihat sebagai pihak yang berkepentingan dalam kes itu.

Jumaat lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib pada tahun lepas, adalah akibat perbuatan jenayah dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Hari ini Tommy Thomas berkata, pihaknya akan meneliti secara profesional dan berhati-hati sebaik kertas siasatan berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.