Jaminan Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek untuk menjaga kebajikan guru termasuk memberi tumpuan pada isu bebanan tugas berlebihan terhadap guru, merupakan satu langkah baik dan dianggap telah menonjolkan keutamaan yang betul.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin berkata, beliau tidak menyangka Fadhlina yang dianggap sebagai ‘novice’ atau ‘orang baru’ untuk memimpin KPM telah dapat mempamerkan dua aspek kepemimpinan pendidikan yang baik, dan jika ia diamalkan, aspek itu akan memberi impak besar kepada ekosistem pendidikan dalam negara.
Beliau memuji dua perkara utama yang diutarakan Ahli Parlimen Nibong tebal itu antaranya tidak tergesa-gesa mahu menonjolkan kecanggihan wawasan pendidikan dan pembaharuan yang hendak dibawanya.
Sebaliknya Fadhlina berulang kali menegaskan keutamaan menambah baik proses penyampaian dan perkhidmatan pendidikan.
“Sekali lagi saya berpendapat beliau menonjolkan keutamaan yang betul dalam konteks menambah baik keberkesanan penyampaian pendidikan, apabila secara tersurat beliau menyatakan guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan.
“Oleh itu perlu dipastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya dan memberi tumpuan kepada kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh guru,” katanya dalam satu kenyataan dikongsi di Facebook.
Kedua, selepas meneliti berulang kali rakaman dan teks ucapan, Amin Senin berpendapat latar berfikir Fadhlina dalam melaksanakan tanggungjawab berat memimpin Kementerian yang besar dan mencabar ini ialah percaya (trust) dan tawaduk (humility).
Beliau menyatakan keyakinan Fadhlina mempunyai kefahaman yang baik tentang tanggungjawab moral dan fungsi teras KPM apabila menekankan kepada aspek Karamah Insaniah.
Karamah Insaniah: Mengangkat maruah dan harga diri (human dignity) setiap orang anak didik dalam konteks Falsafah Pendidikan Negara.
“Maka dalam hal ini sudah pasti tanggungjawab berat tersebut tidak boleh beliau galas berseorangan. Titik mula beliau dalam bertindak ialah berkeyakinan tinggi dengan sokongan dan kerjasama warga KPM melalui proses konsultasi dan musyawarah.
“Keadaan menjadi lebih bermakna lagi apabila dalam sidang tersebut ada nuansa tawaduk, keupayaan bertindak berdasarkan pengetahuan dan pengalaman tetapi mengaku keterbatasannya.
“Kedua-dua percaya dan tawaduk tersebut menjadi pra syarat penting untuk menghasilkan ‘climate’ bekerja yang kondusif dan produktif,” katanya.
Baca juga: Isu guru dibeban tugas, kemiskinan murid dari keluarga B40 antara 7 fokus utama KPM