Malaysia Dateline

Tidak terlawan naratif perkauman, keagamaan Umno-Pas

Keputusan PRK Tanjung Piai diakui banyak pihak sebagai sudah dijangka, namun majoriti pemenangnya, MCA-BN cukup memeranjatkan. Bagaikan gempa bumi berskala besar yang tidak dapat diduga.

Dalam PRU14, kerusi tradisi milik MCA dan kubu BN itu direbut calon Bersatu-Pakatan, dengan margin tipis, sekitar 500 undi sahaja tetapi pada 16 November lalu, BN merampas balik dengan kelebihan lebih 15,000 undi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui — selepas keputusan diumumkan — Pakatan Harapan (PH) dijangka tewas, namun dengan margin sekitar 2,000 undi sahaja. Tentunya beliau pun terkejut dengan prestasi buruk PH itu. Badan penyelidik bebas turut meramalkan MCA akan menang selesa walaupun ada juga yang mengunjurkan, beberapa hari sebelum mengundi, PH sedang berada di depan.

PM Dr Mahathir Mohamad mengakui, selepas keputusan diumumkan bahawa PH dijangka tewas, namun dengan margin sekitar 2,000 undi sahaja.

Satu kemusykilan timbul, dalam posisi parti pemerintah, disokong pelbagai kemudahan dan dana mencukupi, PH masih tidak dapat membaca gerak atau mesej di lapangan. Apakah jentera kempen PH di Tanjung Piai gagal mengesan petanda awal atau reaksi masyarakat setempat yang menghantar isyarat protes terbuka itu? Kenapa boleh berlaku sedemikian rupa sedangkan PRK ini begitu penting, sekurang-kurangnya bagi mengukur sentimen masyarakat setempat.

Dengan majoriti BN yang cukup besar dan tidak terduga itu, mustahil jentera PH tidak dapat “menangkap” mesej jelas pengundi lebih awal lagi. Apakah itu antara kegagalan ketara untuk membaca signal yang ditunjukkan atau kelemahan menonjol PH, khususnya Bersatu, di peringkat tempatan? Mungkinkah Bersatu masih ketandusan penggerak dan aktivis akar umbi sedangkan ia merupakan bukan sahaja komponen utama PH di Johor, malah pemimpinnya terpilih sebagai menteri besar negeri itu?

Kekalahan BN dalam PRU14, 18 bulan lalu juga difaktorkan oleh rasa selesa dan keyakinan palsu pemimpin utamanya untuk terus kekal berkuasa meskipun berlumuran aneka skandal kewangan berskala gergasi. Mereka seperti tidak dapat membaca dan memahami mesej-mesej jelas penolakan terbuka rakyat. Strategi pertandingan tiga penjuru BN-PH-Pas juga memperdaya. PH sepatutnya mendapat iktibar secukupnya daripada pengalaman pahit Umno-BN itu meskipun belum dicemari pelbagai kes salah guna kuasa.

Komposisi pengundi di Tanjung Piai, dengan lebih 40 peratus bukan Melayu, seolah-olah menggambarkan ia kerusi selamat untuk PH. Di konstituensi lain seumpama itu amat sukar untuk BN “dapat angkat kepala” walhal di Tanjung Piai, ketika gelombang anti-Najib melanda dahulu, PH hanya menang dengan majoriti sekitar 500 undi sahaja. Maknanya, tidak mudah kerusi tradisi MCA ini hendak digugat.

Pemimpin tertinggi Pas dan Umno dalam cermah perdana sempena kempen PRK Tanjung Piai baru-baru ini.

Masyarakat Cina diandaikan umpama “deposit tetap” dan MCA dilihat parti yang tiada masa depan. Parti itu hanya mempunyai kerusi parlimen tunggal dalam PRU14, itu pun kerana sokongan pengundi Melayu.

Semua maklum sokongan pengundi Melayu — kelompok majoriti negara ini — kepada PH agak kecil, di bawah 30 peratus. Justeru, ada gesaan agar usaha atau strategi tertentu bagi menarik lebih sokongan, khususnya menjelang PRU15 yang dianggap lebih kritikal itu. Apatah lagi dengan pakatan baharu politik, Pas-Umno, yang memungkinkan berlaku peralihan kerajaan atau merealisasikan “kerajaan PH sepenggal”. Mustahil parti pemerintah duduk diam, tambahan pula perang persepsi nampak didominasi oleh pembangkang.

Saya tidak pasti apa motif sebenar penganjuran Kongres Maruah Melayu yang turut dihadiri Dr Mahathir itu Oktober lalu. Hampir pasti ada agenda tersirat bagi menggembleng kekuatan politik Melayu. Malangnya ia dilihat sebagai gugatan terhadap naratif politik baharu pasca-PRU14. PH pula tidak sepakat menanganinya; nampak hanya Bersatu mendukungnya. Presiden AMANAH, Mohamad Sabu meskipun turut hadir tetapi lebih bermotif untuk meraikan Dr Mahathir sahaja.

Dapat difahami motif kehadiran Dr Mahathir dalam memperkukuh sokongan orang Melayu terhadap PH. Namun begitu, ia mengecewakan pengundi Cina, ditambah isu-isu seperti pembelajaran jawi di sekolah vernakular, dana untuk universiti-kolej MCA, keadaan semasa ekonomi-bisnes dan juga janji-janji manifesto.

Bagaimanapun, impan itu tidak mengena! Pengundi Melayu pun tidak tertarik dengan retorik perkauman itu, manakala masyarakat Cina sudah beralih sokongan; mereka mahu zahirkan protes secara besar-besaran. Dan di Tanjung Piai terbukti orang Melayu juga tidak menyokong personaliti calon Bersatu, seorang imam, tentunya Muslim yang baik.

Benar sekali kata seorang penulis, Ahmad Lutfi Othman, tidak terlawan PH dan parti-parti komponennya untuk menyaingi naratif perkauman-keagamaan Umno dan Pas. Melalui posting dalam FB baru-baru ini, beliau merumuskan: “Melayu tak dapat, Cina pun lari.”

Antara pimpinan PH yang turun berkempen dalam PRK Tanjung Piai.

Tanpa meremehkan keperluan untuk menjaga dan mempertahankan sensitiviti kelompok majoriti, prinsip keadilan sosial Islam dan hak demokratik mesti difahamkan secara menyeluruh. Harus digerakkan kempen berstrategi untuk melawan sentimen negatif itu, dan bukannya dengan berlumba-lumba untuk muncul sebagai parti yang lebih bersemangat Melayu.

PH tidak harus terikut-ikut dan terpengaruh dengan lenggok Umno-Pas, bagi meraih sokongan Melayu. Harus konsisten dengan jalan tengah yang inklusif dan sederhana. Semua kelompok yang memerlukan perlu dibela dan disantuni. Tetapi tidak pula mengabaikan jati diri bangsa Malaysia. Bukan hanya keperluan fizikal tetapi juga aspek emosi, sensitiviti dan kepercayaan.

PRK Tanjung Piai pula jangan dijadikan modal untuk mempertajamkan lagi perselisihan dalaman PH. Cukuplah dengan mesej negatif yang terpancar daripada suatu bentuk gabungan tidak harmonis antara parti komponen dan intra-parti. Usah ditambah-buruk lagi dengan tohmahan berbekas pembangkang.

Segalanya belum berakhir. Taufan yang membadai penghujung paling selatan daratan Asia itu mungkin segera reda. Sejarah membuktikan momentum PRK tidak kekal lama. Telok Pasu, Arau, Ijok, Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah antara siri PRK yang memberi iktibar.

Pola pengundian mungkin hanya terhad di Tanjung Piai, dipengaruhi faktor semasa dan boleh berubah di masa depan bergantung keupayaan PH untuk menterjemahkan iktibar kekalahan ini dalam bentuk praktikal.

Dr Mahathir sudah mengakui post-mortem akan dijalankan secara serius dan jujur. Akui kelemahan dan kealpaan, juga mungkin ada elemen keangkuhan dan kejahilan. Bersedia untuk berubah, jika tidak mahu rakyat akan mengubah pemerintah nanti.