Malaysia Dateline

Tidak terlibat dalam siasatan kes kehilangan paksa, bukti ‘keterbukaan’ PDRM

Pengecualian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes kehilangan paksa dua individu beberapa tahun lalu, dilihat sebagai ‘keterbukaan’ badan keselamatan antara terbaik di dunia itu untuk mencari kebenaran.

Pada 3 April lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendakwa kehilangan paksa Pastor, Raymond Koh dan Pengasas Bersama Persatuan Kebajikan Perlis Hope, Amri Che Mat dilakukan Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Kelmarin, Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberitahu Bernama, jika pihaknya terlibat dalam siasatan itu, ia seperti berat sebelah dan bagi mengatasi perkara tersebut, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipertanggungjawabkan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan kes berkenaan, dan kerajaan sudah membentuk pasukan petugas khas.

Susulan makluman KPN baharu itu, bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan berkata, keterbukaan pihak PDRM dalam isu ini jelas menunjukkan mereka mahu siasatan dijalankan dengan adil, tanpa melibatkan campur tangan pihak yang dikatakan terbabit dalam kes kehilangan paksa itu.

Beliau berkata, ahli pasukan petugas khas yang dipilih oleh KDN mesti terdiri daripada orang yang mengetahui selok-belok mengenai penyiasatan, kerana mereka sememangnya ditugaskan menyiasat laporan yang dibuat oleh pihak Suhakam.

“Mengenai keputusan siasatan, pada saya biar pihak pasukan petugas khas menjalankan tugas mereka dahulu. Kalau terbukti PDRM terlibat seperti yang didakwa Suhakam, pasukan itu perlu mengenal pasti ‘siapa’ yang terlibat dan diambil tindakan.

“Tidak boleh hanya cakap polis terlibat, tetapi siapakah anggota polis yang terlibat itu? Siapa pun yang terlibat dengan jenayah, tidak kira polis atau pun menteri, kalau didapati bersalah tindakan perlu diambil ke atas mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini, bagi mengulas mengenai pengecualian pihak PDRM dalam siasatan kes kehilangan paksa dua individu seperti yang dilaporkan pihak Suhakam.

Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Sementara itu, Amri, Pengasas Bersama Persatuan kebajikan Perlis Hope, pula hilang sejak 24 November 2016.